Saturday, June 12, 2010

Motivasi diri: Bila Kehidupan Berbicara



Kebahagiaan adalah milik mereka yang mengenali dan memahami hakikat kehidupan. Mereka mengetahui bilakah bermula dan berakhirnya kehidupan serta bijak menyesuaikan dirinya ditengah tengah arus kehidupan yang bergelora. Sesungguhnya menyedari kekerdilan dan kerendahan diri ialah puncak ketinggian insan.

Bila Kehidupan Berbicara

Ketika jiwa kita kuat dan masih mampu berpegang pada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang benar maka akan terserlahlah kewibawaan dan jati diri kita lalu kitapun melangkah gagah menuju kemuliaan atau ketinggian di sisi Allah SWT lalu manusia lain pun akan kagum dan hormat pada kita. Namun disaat-saat jiwa kita lemah, kita akan hanyut bersama arus deras yang menuju kekecewaan dan kehinaan.

Inilah hakikat kehidupan. Jika kita berpeluk tubuh tanpa melakukan sesuatu maka kegagalan, kekecewaan, kehampaan dan segala kelemahan akan mewarnai kehidupan kita. Tetapi untuk kita berjaya dan bahagia, mulia dan berwibawa, kita perlukan usaha dan pengorbanan. Inilah hakikat kehidupan...jika kita tidak exercise, tak jaga makan minum kita maka kita akan sakit tetapi kalau kita nak sihat maka kita perlu senaman secara berterusan disamping menjaga makan dan minum kita mengikut keperluan. Begitu juga dengan hati kita...jika kita tidak jagainya dengan menjauhi dosa, berikan makanan dengan tazkirah dan ibadah maka hati kitapun akan sakit lalu kita akan lebih cenderung pada dosa dan kehinaan.

Inilah realiti kehidupan kita. Segala yang baik, positif, segala ketinggian dan kemuliaan, kejayaan dan kebahagiaan tidak akan datang bergolek tetapi memerlukan usaha yang berterusan yang dibangunkan dengan tekad dan keazaman yang tercetus dari matlamat dan kefahaman yang benar tentang kehidupan serta dibajai dengan doa dan ibadah yang akan menjadikan jiwa kita subur dan lunak yang nantinya akan menjadi tempat tumbuhnya kepasrahan, ketenangan, kesabaran dan ketabahan.

Arus kehidupan inipun tidak pernah membezakan siapa kita, dari mana keturunan kita, muliakah atau hinakah bangsa kita; siapa yang lalai dan leka akan menjadi mangsa namun siapa yang sedar diri serta berusaha menongkah arus deras ini maka kejayaan dan kebahagiaan akan menjadi miliknya.

Kehidupan ini umpama arus deras yang sentiasa mengalir tanpa henti. Sebagaimana jiwa kita yang kadang-kadang kuat, kadang-kadang lemah begitu jugalah kehidupan kita; kadang-kadang kita cukup kuat untuk menongkah arus kehidupan yang serba ganas atau sekurang-kurangnya mampu bertahan dengan apa yang ada namun kadang-kadang ketika jiwa kita lemah tak bermaya maka kita pun tewas lalu hanyut dibawa arus.

Bila Kehidupan Mula Berbicara

Disaat kita terasing dalam dunia kita sendiri, disaat tidak ada siapa yang menemani kita melainkan kesunyian, keresahan dan kekecewaan. Disaat kita memandang kedepan segala-galanya kabur dan penuh tanda tanya, disaat kita menoleh kebelakang yang terlihat hanyalah dosa dan ketelanjuran.

Disaat jiwa kita benar-benar lemah dan merasakan kebahagiaan bukan lagi milik kita, bahkan kita merasai kehidupan itu sendiri hampir-hampir tidak ada lagi. Ketika inilah, ketika lilin harapan kita hampir padam dan dunia terasa kelam, kehidupan sebenarnya sedang berbicara kepada kita

Kehidupan sedang berbicara kepada kita tentang kehambaan; tentang kekerdilan kita dan keMaha Berkuasaan Sang Pencipta agar kita sedar diri dan merasakan perlunya untuk kita tunduk dan patuh kepadaNya. Untuk kita bermunajat dan meletakkan pengharapan padaNya

Kehidupan sedang berbicara tentang keinsanan dan kelalaian; betapa mudah untuk kita terlanjur dengan dosa dan betapa perlu untuk kita insaf dan bertaubat. Betapa seringnya kita lupa untuk bersyukur dan betapa mudah kita lupa diri apabila kesenangan dan kekayaan menyelimuti kehidupan. Kehidupan sedang berbicara tentang sabar dan pasrah, agar jiwa kita semakin terbina dan semakin kuat hingga kita akan lebih sanggup melaksanakan tanggungjawab yang lebih besar dan banyak. Kehidupan sedang berbicara kepada kita bahawa gagal dan berjaya, kecewa dan bahagia, jatuh dan bangun itu adalah warna-warna dirinya agar kita sedar dimana kita sedang berdiri dan kemana akan kita aturkan langkah kaki kita.

Berpijaklah Di Bumi Nyata

Bayangkan kita tidak berada ditanahair kita sendiri. Kita melihat sekeliling kita, semuanya terlalu asing. Dari bahasa hinggalah kebudaya, segala-galanya terlalu asing bagi kita. Dari warna kulit hinggalah ke cara hidup, segalanya terlalu kontra dengan keadaan diri kita. Apakah perasaan kita pada masa itu?

Saya masih ingat ketika kali pertama saya menjejak kaki di negara jiran (Thailand), saya rasa terlalu berdebar. Bermacam sangkaan dan bayangan negatif yang menguasai diri. Saya terbayangkan, tiba-tiba saja seorang kanak-kanak melintas jalan lalu saya terlanggarnya. Saya kemudian akan dibawa ke balai polis dan sana mereka bercakap dalam bahasa asing yang tidak saya fahami dan mungkin mereka juga tidak memahami kata-kata saya untuk saya membela diri.

Saya masih ingat ketika saya di Hadyai, bagaikan nak luruh jantung saya apabila melihat kereta saya dipalangkan tayarnya dengan besi dan mangga sebesar penumbuk. Rupa-rupanya saya tersalah parking, apa yang perlu saya buat ialah cari balai polis terdekat dan bayar kompaun kemudian pihak polis akan datang untuk membuka semula palang pada tayar kereta saya. Sayapun tidak dapatkan bayangkan perasaan saya bila masuk semula ke sempadan Malaysia; mungkin macam baru lepas bayar hutang RM 500 ribu.

Apa yang saya ingin gambarkan di sini ialah kegelisahan, ketakutan dan bermacam-macam perasaan yang menyebabkan jiwa kita lemah ketika kita berada di luar tanahair kita; ketika berada di luar zon bahasa dan budaya yang mendarah daging dalam diri kita.

Inilah kehidupan kita; warna warninya ialah tawa dan tangis, lorong-lorongnya adalah kedukaan. Yang penting sekali bukanlah kenapa kita gagal atau berjaya tetapi apa sikap kita ketika berdepan dengan kegagalan dan bagaimana kita menerima kejayaan.

Sedar atau tidak, kitapun selalu lupa untuk berpijak di bumi nyata hinggakan kita merasa begitu terasing dengan kehidupan yang sedang kita lalui. Jiwa kita selalu keluh kesah dan tertekan. Perasaan ini tidak banyak bezanya dengan perasaan kita ketika kita berada di dunia yang asing bagi kita.Cuba kita renungkan kehidupan disekitar kita! Cuba renungkan dengan mata hati kita dan pemikiran yang tajam. Hari-hari kita melihat ada saja orang mengalami kegagalan. Hari-hari kita melihat ada manusia menempuh hari baru dengan penuh kekecewaan. Bukankah ini yang dikatakan kehidupan; ada masa senang ada masa susah, ada masa kita berjaya dan ada pula hari-hari yang kita gagal.

Kerana kita tidak benar-benar mengenali hakikat kehidupan ini maka kitapun akan rasa tertekan, lemah semangat dan selalu keluh kesah. Sedangkan kita hanyalah sebahagian kecil dari gelombang kehidupan itu sendiri. Sudah tentunya kita tidak sentiasa berjaya; tentu ada hari-hari gagal dalam kehidupan kita. Jika kita tidak sedar bahawa kegagalan itulah teman setia kita, tentu kita akan terasa asing dalam kehidupan kita sendiri. Tentu tidak banyak pengalaman yang dapat kita pelajari dari teman setia kita itu. Bahkah orang yang berjaya itu adalah orang mengambil pengajaran dari kegagalannya hingga ada pepatah hukamak “Kejayaan yang sebenarnya ialah kejayaan yang dibina di atas puing-puing (serpihan dari keruntuhan) kegagalan”

Kita takutkan kekecewaan sedangkan kekecewaan itulah guru yang akan mengajar kita erti prinsip dan perlunya kita bangkit semula dari kegagalan kita. Kekecewaanlah yang akan mengajar kita betapa besarnya keburukan yang akan datang selepas kelalaian. Bahkan kekecewaan itu akan mengajar kita tentang perlunya kita berhati-hati ketika melangkah dalam kehidupan.

Kita hanyalah sebahagian kecil dari gelombang kehidupan itu sendiri. Sudah tentunya kita tidak sentiasa berjaya; tentu ada hari-hari gagal dalam kehidupan kita. Jika kita tidak sedar bahawa kegagalan itulah teman setia kita, tentu kita akan terasa asing dalam kehidupan kita sendiri.

Jadi berapa lama lagi kita nak berada di dunia asing. Berpijaklah di bumi kita sendiri. Lihatlah teman setia kita yang akan mengajar kita erti kejayaan. Bukankah orang yang berusaha gigih untuk berjaya itu pernah menjadi sahabat karib kegagalan dan kegagalan itulah yang tidak jemu-jemu mengajarnya erti kejayaan. Inilah kehidupan kita; warna warninya ialah tawa dan tangis, lorong-lorongnya adalah kedukaan. Yang penting sekali bukanlah kenapa kita gagal atau Berjaya tetapi apa sikap kita ketika berdepan dengan kegagalan dan bagaimana kita menerima kejayaan.

Berpijaklah di bumi nyata agar kita mampu melangkah dengan penuh kepasrahan dan ketabahan. KEPASRAHAN dan KETABAHAN itulah yang akan mengajar kita erti kebahagiaan dan ketenangan. Tetapi KEPASRAHAN dan KETABAHAN itu hanya akan kita temui ditanahair kita sendiri bukan di negeri asing. KEPASRAHAN dan KETABAHAN itupun ada pemiliknya dan tentunya Dia tidak menyerahkannya kepada orang yang tidak benar-benar mengenaliNya dan berkelakuan baik terhadapNya.

Hadapilah Harimu Dengan Senyuman

Ketika kegagalan mewarnai kehidupan kita, kitapun menangis dan kecewa namun kejayaan tidak akan sedikitpun tersenyum pada kita. Ketika kita dipandang hina dan dicerca kerana kesalahan kita sendiri, kemuliaanpun hanya memandang kita dengan senyuman sinisnya. Ketika kita tersungkur jatuh kerana kelalaian kita sendiri lalu jiwa kita sakit dan menderita, kitapun menangis hiba, malangnya kebahagiaan tidak juga menemani kita hingga keresahan terusir dari jiwa kita.

Jadi kenapa kita perlu menangis? Bukankah tangisan itu akan menjadikan kita semakin resah bahkan tidak akan mengubah apa-apa. Bukankah kesedihan dan rasa kecewa itu akan memadamkan sebahagiaan dari kewarasan kita hingga kita mula hilang arah tuju dan teraba-raba mencari siapa diri kita sebenarnya. Bahkan lebih dari itu, tangisan itu akan mengikis keimanan kita sedikit demi sedikit hingga akhirnya tiada lagi keyakinan kita kepada kesempurnaan dan kebijaksanaan Allah SWT.

Senyuman itu akan mewarnai kekelaman dan kegelapan jiwa kita hingga kita akan melihat kehidupan ini dengan semangat dan keazaman yang baru. Bukankah sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang berjaya itu pun pernah gagal namun kerana mereka tidak terlalu sibuk memanjangkan tangisan dan keluhan jiwa mereka lalu merekapun ada banyak masa untuk melakar harapan

Kenapa kita tidak tersenyum? Kerana Bukankah sahabatsahabat yang merasai kenikmatan dan kebahagiaan beriman itupun pernah tersungkur hina namun kerana jiwa mereka kuat lalu mereka menjadikan keinsafan sebagai anak tangga untuk mereka hampir kepada Allah swt.

Lihatlah kehidupan ini dengan jiwa yang tersenyum. Kalaupun kita hidup merempat, ada pula manusia yang mati hina. kalau kita serba kekurangan ada pula manusia yang langsung tak memiliki apa-apa. Kalau kita miskin harta, ada manusia yang miskin jiwa hingga tidak menikmati keindahan hidup walaupun kaya raya. Kalaupun kita tidak memiliki kenderaan yang baik, ada manusia yang tidak memiliki kaki untuk berjalan.

Memang kita berhak menangis tetapi kita perlu tahu ketika mana dan untuk siapa tangisan itu. Bukankah jiwa ini ada Pemiliknya. Jadi ketika jiwa kita lemah mengadulah padaNya maka Dia akan berikan kita satu kekuatan baru kerana kekuatan itu milikNya. Ketika kita kecewa maka sandarkan harapan kita padaNya kerana dialah tempat kita tujukan harapan kita. Cuma kadang-kadang kita lupa diri kita siapa lalu kita meminta kekuatan pada manusia yang juga lemah lalu kita semakin lemah, kita sandarkan harapan pada bukan tempatnya maka kitapun kecewa dan hampa.

Sumber:

Azmi Bahari

http://my.opera.com/azmibhr/blog/

Sunday, June 6, 2010

EPISOD DUKA PALESTIN


Oh Palestin menangis lagi..

Episod duka Palestin mencengkam leluhur daging umat ini

Duka nestapa,teriak dan tangis hanya itu mampu diberi

Kita terleka,Israel mengejutkan kita

Kita pun tersedar, namun tidak mampu berbuat apa-apa

Disaat daging-daging umat islam kian diratah

Disaat wanita diperkosa,anak-anak tidak berdosa dibunuh

Kita hanya menyaksi sebagai bicara

Jika berbicara ibarat tanpa suara

Ya Allah

Buih-buih dilautan seperti di sabda

Kini disaksi didepan mata

Apakah air mata dan doa

Itukah pengubat luka?

Ya Allah

Saat aku terlena dibuai mimpi

Mereka menangis tiada henti

Darah mengalir ditanah air sendiri

akhirnya mati menjadi pasti

Ya Allah

Aku insan berdosa

Aku yang terleka

Membiarkan umat menderita

Disaat manusia berperang dengan masalah umat

Aku juga yang sering tewas pada diri sendiri…

Tuesday, June 1, 2010

Bila kehidupan berbicara

Kebahagiaan adalah milik mereka yang mengenali dan memahami hakikat kehidupan. Mereka mengetahui bilakah bermula dan berakhirnya kehidupan serta bijak menyesuaikan dirinya ditengah tengah arus kehidupan yang bergelora.Sesungguhnya menyedari kekerdilan dan kerendahan diri ialah puncak ketinggian insan.


petikan dari PDF "Bila kehidupan berbicara",Azmi Bahari. Point dia kenalilah hakikat diri..berpijak dibumi yang nyata..