Wednesday, December 22, 2010

AL-FATIHAH

17 Muharam 1432H b'smaan 23/12/2010: AL-FATIHAH buat nenekku..Gerak hatiku betul Ya Hadi,Ya Allah tempatkan roh nenekku ditempat orang2 beriman...

Monday, December 20, 2010

7 GOLONGAN

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah:



1. Pemerintah yang adil,


2. Pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya,


3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid


4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah


5. Orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!",


6. Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya,



7. Orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.."



(HR Abu Daud dan Ibnu Majah)


Ya Allah! maafkan kami...


Ya Allah tatkala dunia sungguh mempedayakan, ada ketika kami terperangkap dan terjerumus ke lembah tipuan. Ya Allah! dunia sungguh memautkan, nafsu meronta-ronta inginkan pujian, kekayaan, penghargaan dan pelbagai kenikmatan yang tidak pernah puas. Ya Allah maafkan hambaMu ini tatkala hati kami jauh dariMu, maafkan kami Ya Allah tatkala kami merindui pujian dan penghargaan manusia berbanding rindu kami kepadaMu. Maafkan hamba Ya Allah, kami sering lalai dan cuai dari mengingatiMu. Ya Allah kami malu pada diri sendiri, malu kepadaMu. Saat kami menghamparkan sejadah, kami menangis kerana kesusahan dunia, kami menangis kerana kepentingan kami tidak diperolehi. Kami bukan menangis kerana takutkan azabMu. Ya Allah, maafkan kami Ya Allah tatkala kami merasa puas dan sempurna dengan amalan kami. Kami tewas Ya Allah apabila manusia memuji diri kami. Padahal seharusnya kami mengembalikan pujian itu hanya untukMu Ya Allah. Ya Allah, kami lemah, kudrat kami tidak berdaya tanpa kekuatanMu Ya Qawwiy. Ya Allah hulurkanlah keikhlasan kepada hati kami. Engkaulah Ya Quddus Yang Maha Suci dari segala sifat yang tidak baik. Engkaulah Yang Jalil Yang Maha Luhur. Ya Allah kami ingin kembali kepadaMu Ya Tawwab, Ya Ghaffar..Ya Allah Ya Mujib perkenankanlah permintaan kami yang hina ini…amin

Thursday, December 16, 2010

UBATILAH HATI ITU




Saat kita mula menjauh dari Allah, maka hadirlah segala kekusutan dan permasalahan yang membelenggu fikiran.Kita termenung sendirian mencari-cari ubat kepada permasalahan yang timbul. Hati kita tidak tenteram kepada kehidupan. Ada penolakan yang berlaku didalam jiwa tatkala kita terleka dengan pautan dunia. Kita kegelisahan dengan serpihan mazmumah yang sentiasa mencari ruang didalam hati kita. Kita mungkin kebingungan mengapa terkadang kita merasa diri riak, ujub, hebat pada pandangan manusia lain.

Semakin kita tempis bayangan mazmumah semakin ia hadir. Bisikan-bisikan halus mempengaruhi jiwa kita. Itulah syaitan yang sentiasa tidak pernah jemu untuk mengusir manusia dari terus mentaati Allah. Syaitan hadir didepan, belakang malah segenap penjuru semata-mata untuk merosakkan kita. Kita mula mencari manusia lain, padahal tiada sesiapa pun mampu mengatasi masalah kita. Roh kita sakit ubatnya bukan manusia, andai jasad yang sakit maka doktor boleh memberikan ubat. Andai roh yang sakit, itu tanda Allah sayangkan kita..Allah memanggil kita, Allah berbicara lagi dengan kita tentang hakikat menjadi seorang hamba yang tabiatnya dijadikan sentiasa dalam keadaan kegelisahan.

Andai hati sakit, ambillah Al-Quran sebagai ubat, solat berjemaah perlu diperteguhkan, pandanglah sekali lagi langit dan segala ciptaanNya agar kita kembali sedar bahawa hakikatnya kita adalah hamba bukan Pencipta….

Friday, December 10, 2010

HATIKU BERBICARA LAGI...


Ya Allah

Tidak pernah hati ini merasa begini

Pertemuan yang sungguh memberi erti

Biarpun hanya seketika

Namun jenuh membuah rasa


Ya Allah

Terasa indah ukhuwwah islamiyyah

Di pasak kukuh dengan ikatan akidah

Jauh lebih memberi keyakinan

Melebihi ukhuwwah kerana keturunan


Ya Allah

Di penghujung waktu senja

Terasa bahangnya kian terasa

Perpisahan yang bakal menjelma

Kerana itu telah ditakdirNya


Ya Allah

Dulu aku tidak mengerti apa-apa

Dulu aku bergelumang dengan dosa

Namun hadirnya mereka merubah segala

Kerana kekuatan dan sokongan mereka


Ya Allah

Lewat waktu ini

Hati ingin berbicara lagi

tentang nasib diri

Tanpa sahabat dan teman disisi

Mampukah diri ini bertahan?

Ketika dunia begitu memautkan…


Ya Allah

Bukan aku tidak yakin kepadaMu

Bukan aku tidak yakin dengan kekuatanku

Namun aku khuatir seperti Nabi sabdakan

Kambing seekor senang menjadi hidangan

Bukankah itu satu peringatan


Ya Allah

andai mereka tiada lagi disisi

andai tiada siapa menemani

dilangkah dan medan dakwah ini

Engkaulah yang ku harapkan

sehingga nafasku ke akhiran…

Wednesday, December 8, 2010

TAHUKAH ENGKAU, DIMANA IA BERSEMAYAM?


TAHUKAH ENGKAU, DIMANA IA BERSEMAYAM?

Tahukah engkau dimana ia bersemayam?

Dialah saudaramu..ke mana ia melangkah?

Sanggupkah matamu memandangnya?

Sedang matanya tak sanggup menatapmu?

Saudaramu hidup laksana sejarah

Berjalan beriringan mengikut langkahmu

Tanpa bahasa yang dapat menyapa

Bercucur air mata jika bersua

Jika bumi menghimpitnya

Hanya hatimu tempat mengadu

Engkau bermurah hati tanpa pamrih

Memupus duka nestapa yang ia derita

Engkau memikul beban berat tanggungannya

Ketika letih pilu merasuk kedua bahunya

Jika bumi menghimpitnya

Hanya hatimu tempat mengadu

Engkau selimutkan tirai di sekujur tubuhnya

Ketika syaitan datang memperdayanya

Engkau tersenyum bangga dengan ramuan buah akhindit

Engkau bahagia pula dengan kesuburan

Ladang dunia saudaramu

Jika bumi menghimpitnya

Hanya hatimu tempat mengadu

Tuesday, December 7, 2010

Nota Dakwah: Berubah Menjadi Daie' Mutaharik

Oleh : BroHamzah

Salam Ma’al Hijrah 1432 buat seluruh ummat Islam khususnya di Malaysia, dan umumnya di seluruh dunia.

Hijrah, bererti kita bertekad untuk berubah dan berubah. Berhijrahkah kita?

Hijrah, kita akan sentiasa meningkat dan tertingkat.
Keimanan dan kecintaan kepada Allah SWT semakin bertambah
Amal yang kuat dan nyata kian meningkat maju
Dan diri semakin bersemangat untuk bermujahadah meninggalkan dosa dan maksiat

Marilah kita kuatkan keazaman dan tekad di jiwa untuk berubah.
Berubah untuk menjadi daie’

Menjadi Daie’ Mutaharik.
Penyeru kebenaran yang bergerak, proaktif, dinamik dan sentiasa bersemangat waja!

Ini Jalannya ; Dakwah, Tarbiyah dan Jihad

Saya teringat satu kata-kata seorang Salafussoleh yang disebut semula Oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Kitabnya, Miftah Dar al-Sa’adah. Katanya :

“ Alangkah hebatnya agama ini sekiranya mempunyai lelaki yang berjiwa besar.”

Berjiwa besar dan berpandangan jauh adalah ciri pemuda yang kita idam-idamkan dalam gerakan sebaran kebenaran. Kerana apa? Kesyumulan dalam dakwah merupakan satu ketinggian dan kemuliaan. Hanya pemuda mukmin yang kuat dan beriman dengan keyakinan kepada Allah SWT yang mampu mendokongnya.

Inilah jalan yang sedang kita lalui. Satu jalan yang tinggi. Satu jalan yang akan membersihkan dan menyucikan kita. Seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah dipersaudarakan dengan Abu Darda’ iaitu Salman telah mengungkapkan kata-kata yang menyentuh hati :

“ Sesungguhnya bumi tidak dapat menyucikan seseorang. Tiada yang dapat menyucikan seseorang hamba kecuali amalnya.”

Inilah jalan yang akan menjadi bekalan untuk kita. Amalan dimedan inilah yang sebenarnya menyucikan kita. Semulia-mulia pekerjaan ialah tugas amar makruf nahi mungkar. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam Kitabnya yang menggugah syuur seluruh Dai’ Haraki iaitu Al-Muntalaqtelah memberi ungkapan yang jelas tentang hakikat tugasan dakwah :

“ Demi Allah, sesungguhnya dakwah ini adalah tugas lelaki sejati. Ia menghimpunkan lelaki yang gagah perkasa di dalam barisan mereka. Orang-orang yang takut menghadapi rintangan, gangguan dan pertarungan, maka kumpulan tersebut terdiri dari angkatan lelaki yang berjiwa kecil, kerdil dan mementingkan diri sendiri.”

Syeikh Abdul Qadir al-Kailani Rahimahullah dalam bukunya “Futuh ul-Ghaib” menukilkan dengan himmahnya tinggi :

“Sesiapa yang inginkan darjat yang tertinggi di Syurga, dia hendaklah berada di martabat yang tertinggi di dalam kehidupan dunia.”

Dalam memberi komentar ungkapan ini, Muhammad Ahmad Ar Rasyid menyatakan bahawa :

“ Tidak ada martabat yang tertinggi di dunia ini kecuali martabat dakwah dengan melakukan kerja-kerja dakwah kepada Allah SWT.”

Ungkapan Jiwa Abdul Qadir Audah ini amat menyedarkan :

“Dakwah ini adalah kepunyaan Allah bukannya milik individu. Allah telah mengajar orang-orang beriman bahawa dakwah terikat dengan kehendakNya bukan kepada para duah, nasib setiap individu daripada dakwah ialah sesiapa yang beramal untuknya maka Allah akan memuliakannya dengan sebab amalnya, sesiapa yang meninggalkan beramal untuk dakwah maka Allah akan menjauhkan kebaikan daripadanya dan dakwah tidak akan mendapat mudarat sedikitpun.”

Dakwah, inilah Jalan terpantas dan tercepat meraih Redha Allah SWT.

Jalan inilah yang akan memuliakan kita

Namun, tidak semua mampu mendokongnya.

Jalannya sukar, penuh ujian dan dugaan. Suatu jalan yang menuntut banyak pengorbanan. Ya pengorbanan. Pengorbanan wang ringgit, tenaga, masa, buah fikiran hatta nyawa sekali pun.

Daie’ Mutaharik

Seorang daie’ yang sejati adalah seorang rijal yang mencintai dakwah dengan sepenuh jiwa dan hatinya. Rijal yang hatinya mencintai Allah SWT dengan kecintaan yang sebenarnya. Sesungguhnya, rijal yang memikul amanah dan bebanan dakwah ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.

Saya kongsikan, beberapa ciri yang harus ada pada seorang daie’ yang bergerak ( mutaharik) dalam jalan dakwah dan tarbiyah. Daie’ yang dinamik dan sentiasa menjiwai gerak kerja dakwahnya dengan proses didikan islamiyah yang syumul dan kamil. Antara ciri-ciri daie’ mutaharik :

1)- Amil ( Pekerja) – Keperluan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan komitmen yang tidak berbelah bagi. Semangat di dalam jiwanya sentiasa membara dan tidak pernah pudar walaupun dihimpit dengan pelbagai ujian, cabaran dan dugaan.

2)- Mufakir ( Pemikir) –Sentiasa berfikir permasalahan ummah dan berusaha mencari jalan penyelesaiaan. Imam Hassan al-Banna pernah berkata : “ Bahawasanya, aku sangat merindui seorang pemuda yang tidak dapat melelapkan matanya kerana memikirkan permasalahan ummah.”

3)- Saja’ah (Berani)- Berani dalam mengemukan idea-idea yang bernas, pandangan-pandangan dan cetusan untuk menggerak dakwah secara bersepadu.

4)- Muntij ( Proaktif) – Kayu ukur kepada gerak kerja dan amal seorang daie’ adalah amalan yang berkualiti dan bermutu. Dan amalan yang dilakukannya berfokus kepada amalan yang qawi’. Mereka sentiasa cergas dan aktif dalam melaksanakan usaha-usaha dakwah tanpa mengabaikan proses tarbiyah imaniyah terhadap diri mereka.

Jadilah daie’ mutaharik, daie’ yang sentiasa bergiat aktif dalam gerakan usahanya.
Sentiasa memelihara niat dan keikhlasan dalam bekerja.
Sentiasa mempertingkatkan ibadah ruhiyahnya dengan tekad yang mendalam.
Dan, menjaga hubungan hatinya dengan Allah SWT sepanjang masa.

Pesanan Murabbi – Abu Umar

“ Mehnah-mehnah di sepanjang jalan dakwah adalah dapur pembakar yang akan membakar semangat. Melebur kelemahan jiwa untuk memudahkan proses membentuk keperibadian yang benar dan tahan diuji sebagai persiapan untuk memikul tanggungjawab yang berat dan besar. Jika kau hajati syurga Allah marilah bersamaku menyinsing lengan merintis onak dan duri serta menongkah arus masyarakat.”

Semoga hijrah pada tahun ini, memberikan suatu suntikan ruh hijrah yang segar dan membangkitkan. Perubahan itu, adalah untuk membumikan setiap apa yang kita fahami, sedari dan yakini.

Seringkali saya sebut berkaitan hijrah dan perubahan : “ Sesiapa yang berubah kerana terpaksa, sebenarnya dia adalah mangsa. Namun sesiapa yang berubah kerana kesedaran diri kerana Allah SWT insyaAllah dia akan bahagia.”

Penutup :

1)- Hijrah, ia bermula dengan diri kita. Hijrah dan berubah agar kita tidak kalah. Berubah menjadi insan dan individu yang luar biasa ia bermula dengan anda!

2)- Hijrah untuk terus-menerus mempertingkatkan diri dalam proses peningkatan tarbiyah diri. Tarbiyah untuk berubah. Berubah menjadi lebih baik.

3)- Masa dan detik kehidupan terus berlalu. Jika kita tidak merancang kehidupan kita untuk melakukan perubahan, kita perlu persoalkan kemana umur kita akan dihabiskan? Ya, hidup ini adalah perjalanan pulang kepada Allah SWT, Pemilik kehidupan. Sedetik umur kita bertambah maka selangkah kita menghampiriNya. Kata Hassan Al Basri "Wahai anak Adam, kamu adalah hari-hari yang terkumpul. Apabila berlalunya satu hari maka berlalulah sebahagian dari DIRIMU." – Abu Umar.