Wednesday, March 30, 2011

MALU



Ya Allah, betapa diriku ini sungguh malu untuk kembali padaMu. Aku malu ketika kebaikanku yang sekelumit dipandang hebat pada pandangan manusia lain. Sedangkan keaiban dosaku yang banyaknya tersimpan dan tersorot dari pandangan manusia. Ya Allah maafkan aku, aku terlupa dengan kasih sayangMu ketika aku tidak pernah meminta untuk hidup didalam Islam, Engkau keluarkan diriku dari perut ibu yang beragama Islam, Ya Allah aku malu ketika galak diriku berbuat kemaksiatan, tiba-tiba Engkau masih lagi mengurniakan nafas, makanan. Engkau masih mengurniakan nikmat kedamaian. Ya Allah aku terlupa, sering terlupa.. Maafkan aku Ya Allah…..Aku ingin kembali lagi kepadaMu meskipun sudah terpalit dosa yang tidak mampu dimaafkan, namun tiada Tuhan yang mampu ku harapkan selain dariMu Ya Allah. Terimalah aku!

Tuesday, March 15, 2011

Jujurlah!

Bila hati dilanda resah dan dukacita, mula terasa ingin menjauh dari manusia, mula mencari hiburan sebagai penghibur duka, namun seperti termengah-mengah mencari punca, makin dicari makin tidak jumpa, bila muhasabah dijernihkan semula, hati kecil mula berbicara. “Kembalilah kepada Allah, Berharaplah hanya pada Allah, Dia raja penyelesai masalah"

Muhasabah jujur buat diri hamba yang penuh dengan dosa.

Friday, March 4, 2011

SAHABAT



Tiap-tiap kali saya memperkatakan tentang ukhuwwah. Hati ini seperti bergetar. Tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Ukhuwwah bukanlah sesuatu yang boleh direka-reka. Tetapi ianya merupakan anugerah dari Allah swt. Allah swt menjelaskan didalam Al-Quran bermaksud:

Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Al-Anfal: 63

Bila masuk je bab ukhuwwah, saya seperti terkedu, bingung pun ada. Yang pasti apa yang diungkapkan tetap tidak akan sama dengan apa yang dirasakan. Kita akan mencintai sahabat dengan sepenuh hati. Apatah lagi ada hadis yang mengatakan antara salah satu dari 7 golongan yang mendapat naungan diakhirat kelak ialah dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah

Biar dimana pun saya, sampai bila-bilapun. Saya berdoa supaya saya tidak akan pernah melupakan sahabat-sahabat saya. Dan semoga Allah meredhai pertemuan dan perpisahan ini..

Wednesday, March 2, 2011

POSITIVE THINKING




Saya mesti berfikiran positif, saya mesti bermotivasi dan bersemangat.

Acapkali juga posting-posting saya di Facebook berbentuk kata-kata motivasi. Bukan untuk orang lain tetapi untuk diri sendiri. Saya cuba untuk merangsang pemikiran saya supaya sentiasa berfikiran positif. Tetap yakin, bertenaga, bersemangat dan bermotivasi untuk meneruskan perjalanan kehidupan. Ini kerana tanpa semangat dan kekuatan, saya tidak mampu melangkah. Saya akan lemah semangat. Rangsangan minda tersebut adalah untuk saya sendiri, supaya minda separa sedar di set bahawa segala apa yang berlaku pasti terkandung seribu satu hikmah yang telah Allah tetapkan dalam kitab Lauh Mahfuz. Firman Allah swt:

Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata. An-Naml: 75

Memang diakui manusia memiliki sikap, tabiat dan perangai yang berbeza-beza. Begitu juga dengan saya, selalu saja masalah yang berlaku menghambat kepada kecenderungan untuk saya berfikir negatif. Namun sebenarnya berfikiran negatif hanya akan membawa kepada kerugian buat diri sendiri. Mengapa harus berfikiran negatif, mengapa harus kecewa? Bukankah Allah telah mengatur segala. Redhalah dengan kehidupan biar ribut dan badai melanda.

Sungguh kehidupan ini banyak masalah. Masalah adalah cabaran untuk diselesaikan. Siapakah yang mampu menyelesaikan? Jawapannya Allah swt. Pastinya jalan pasti akan bersinar terang andai hati disuluh dengan cahaya keimanan. Dan cahaya keimanan hanya akan dipancar buat mereka yang sentiasa dekat dengan Tuhan. Kita boleh hidup tanpa Tuhan, tapi kehidupan kita akan di gerakkan oleh hawa nafsu ciptaan sendiri, maka jalan yang kita lalui akan bengkang bengkok dan cepat saja bertemu keseronokan yang dijanjikan syaitan.

Ya Allah! Aku memohon petunjukMu untuk melorongkan diriku kepada orang-orang yang sentiasa yakin kepadaMu. Ya Allah diriku lemah tanpaMu, berikanlah daku kekuatan..Amin

MUHASABAH BUAT DIRIKU HAMBA HINA

Perjuangan

Album :
Munsyid : Saff One
http://liriknasyid.com

Perjuangan itu gerun dan mengerikan
Hebat dan dasyat menggerukkan hati
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 2x

Perjuangan itu bagai sampan di laut
Di atas lapang tiada perlindungan
Di bawa air melambung dan menggunung
Menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
Angin yang menderu tidak tahu bila datang
Hujan badai yang datang menyerang
Bak singa yang lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang berjaya berenang ke tepian
Sekali lagi dia melayar sampan
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada yang esa