Tuesday, April 26, 2011

TERIMA KASIH YA RAHIM!

Ya Allah! terima kasih atas kebaikanMu

Aku masih mampu mengecapi nikmat-nikmatMu yang menggungung tinggi

Ya Allah aku terhutang budi dengan sifat kasih sayangMu

aku mampu bernafas dengan baik, mampu menyedut oksigen tanpa sebarang sesak nafas

Aku tak mampu bayangkan kehidupan tanpa mampu bernafas atau mengalami sesak nafas

Aku terbayang ayahku sewaktu sakit jantung dulu, nafas tercungap-cungap bila penyakitnya datang



Ya Allah! terima kasih atas kebaikanMu

Aku terhutang budi dengan kebaikanMu

Aku terhutang budi dengan nikmat Iman dan Islam yang Engkau anugerahkan

tidak dapat aku bayangkan kehidupan aku tanpa Iman dan Islam

Aku memandang kawan-kawanku yang bukan Islam

Aku tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan aku jika berada ditempat mereka



Ya Allah aku terhutang budi dengan nikmat ukhuwwah Islamiyyah yang Engkau anugerahkan.

Aku dikurniakan sahabat-sahabat yang memahami kehendak dan tujuan

sama-sama bergerak untuk Islam

Aku tidak dapat bayangkan kehidupan tanpa nikmat ini

Aku memandang kawan-kawanku, ramai yang tersasar dan tersungkur

mereka jauh dari sahabat-sahabat yang mengingatkan kepadaMu Ya Allah



Ya Allah aku terhutang budi dengan sifat kasih sayangMu

Aku mampu makan dan minum dengan baik,

mampu menjamah rezeki mu tanpa ada halangan

Aku tak dapat bayangkan bagaimana hatta sakit mulut pun dah rasa tak mampu menguyah makanan

Malah makanan yang masuk keperut ku mampu dicernakan tanpa sebarang masalah melalui perkumuhan

Aku tak dapat bayangkan bagaimana sakitnya menahan perut jika tidak mampu membuang air besar atau air kecil

Fikiranku terlayang pada seorang kakak yang berada disebuah hospital waktu kakak aku ditahan dihospital dulu, dia tak mampu membuang air kecil dengan baik menyebabkan dia terpaksa menyediakan plastik ditepi katil untuk membuang air kecil

Fikiran aku juga terlayang pada datuk aku yang dimasukkan kehospital dulu kerana terlalu sakit perut tapi tak mampu membuang air besar, dia meraung-raung kerana sakit dan akhirnya dipakaikan pampers.



Ya Allah, aku ingin meluahkan kebaikanMu

Alhamdulillah damainya hidup disini,nikmat ketenangan

Aku mampu belajar, berkawan, bersuka ria tanpa ada dentuman tembakan, keganasan

Aku tak mampu bayangkan bagaimana hidup dalam ketakutan, kegelapan, susah mendapat air.

Fikiranku terlayang pada saudara-saudaraku di Palestin, bagaimana susahnya mereka



Ya Allah, maafkan aku kerana tidak mampu membalas kebaikanMu, aku terhutang budi kepadaMu Ya Allah..

Friday, April 15, 2011

KEREDHAANKU SEHINGGA KE AKHIR HAYAT



PERJUANGAN YANG BARU BERMULA

Kringg!!! Loceng sekolah kedengaran membingitkan telinga.

“Ok! semua, ustazah harapkan apa yang kita pelajari hari ini dapat kamu semua ambil pengajaran dan jangan lupa untuk mengulangkaji di rumah nanti!”, Ustazah Khadijah mengakhiri kelas Tasawwuf nya pada tengah hari tersebut.

Seperti biasa setiap kali tamat sahaja kelas Ustazah Khadijah, Aisya akan menjadi orang pertama terus bertemu dengan Ustazah Khadijah. Tangan Ustazahnya itu disambut dan dicium sebagai tanda ucapan terima kasihnya.

“Terima kasih ustazah atas pelajaran tadi,” Aisya memulakan bicara.

“Sama-sama, jangan lupa apa yang ustazah pesan tadi”, Ustazah Khadijah memberi peringatan

“ InsyaAllah ustazah, saya akan lakukannya nanti. Tapi saya agak kurang faham berkenaan dengan tajuk tadi”, Aisya berkerut dahi.

“Kenapa Allah berikan ujian kepada hambaNya yang baik? Kalau jahat mungkin kita beranggapan itu adalah balasan Allah kepada dia”, Aisya seperti tidak berpuas hati.

Ustazah Khadijah tersenyum “ Oh macam ni, setiap hamba Allah swt samada baik atau jahat, kesemuanya akan diuji. Kenapa diuji? Yang baik di uji kerana Allah ingin memberikan pahala kepadanya, mengangkat darjatnya disyurga, malah kadang-kadang Allah merindui rintihan hambaNya. Diberikan ujian agar hambaNya semakin dekat denganNya. Baikkan Allah? Rindu kepada pengaduan hambaNya. Di uji nya pula”, cikgu Khadijah meneruskan penjelasan.

Aisya mengangguk tanda setuju.

Ustazah khadijah meneruskan bicara, “Yang jahat pula diuji kerana Allah ingin mengkafarahkan dosa hambaNya, adakalanya didalam hidup ini kita terlupa dan terleka. Malah kita terpedaya dengan dunia yang sementara. Kita tergelincir dengan bisikan syaitan lantas kita mengikut hawa nafsu yang tidak pernah puas untuk melakukan kejahatan, dosa yang kita lakukan akan menghijab hati kita dari mengenali Allah lantas Allah menguji semata-mata untuk menghapuskan dosa hambaNya”, jelas Ustazah Khadijah.

Tangan Ustazah Khadijah memegang bahu Aisya, “Yang penting, kita kena sentiasa bersangka baik pada Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, masakan Allah akan membiarkan kita terkapai-kapai keseorangan didalam hidup ini”, Ustazah Khadijah tersenyum

Ustazah Khadijah melihat jam tangannya. Jarum menunjukkan tepat pada 1.30 petang. Aisya memahami ustazahnya perlu segera pulang untuk menjemput anaknya di sekolah beberapa kilometer dari sini.

“ Terima kasih Ustazah atas penjelasan tersebut, kadang-kadang saya cepat berprasangka pada Allah apabila ditimpa sesuatu ujian. Apa-apapun terima kasih sekali lagi kerana memberikan penjelasan yang melapangkan dada saya ”, Aisya meringkaskan perbualan.

“Sama-sama”, Ustazah Khadijah mengangguk sambil tersenyum.

Perjalanan Ke Sekolah

Seperti biasa setiap kali ke Sekolah Menengah Agama Kubu Bharu, Aisya akan menaiki bas bersama sahabat baiknya, Aleya. Mereka bagaikan belangkas, ke mana sahaja pasti berdua ditambah lagi dengan kedudukan rumah mereka juga tidak jauh antara satu sama lain. Hanya selang satu kampung saja.

Perjalanan ke sekolah mengambil masa 30 minit. Sebaik sahaja bas tiba, Aisya dan Aleya menaiki bas. Mereka mengambil tempat di depan. Keadaan bas di awal 7.00 pagi agak sunyi. Mereka berbual-bual bertanya tentang kerja sekolah yang Ustazah berikan semalam.

Lima belas minit perjalanan, Aisya merasakan terdapat sesuatu di belakangnya. Semakin lama bersandar, Aisya merasakan seperti ada ketulan kecil yang membengkak. Tudung labuh menutupi tubuh Aisya. Tangannya menyentuh bengkak tersebut.

“Eh , bengkak apa ni. Tiba-tiba pula muncul”, bisik hati kecil Aisya

“Kenapa dengan awak, macam ada yang tak kena je?”, Aleya inginkan kepastian melihat keadaan Aisya yang berpusing-pusing.

“Tak ada apa-apa, saya nak betulkan kerusi ini”, Aisya cuba menyembunyikan apa yang dirasakannya.

Dia sudah maklum, apabila Aleya mengetahui tentang sakitnya walau sikit, cepat-cepat dimintanya untuk berjumpa doktor. Aisya pula seorang yang tidak suka berjumpa doktor, apatah lagi jika demam sikit-sikit. Dia lebih suka untuk bertahan dan mengelakkan dari memakan ubat, jika terdesak baru dia mengambil ubat.

KEMBARA DI ALAM KAMPUS

Waktu semakin berlalu, bengkak tersebut semakin membesar. Benjolan semakin kelihatan. Namun tudung labuh yang menutupi tubuhnya menjadi pelindung dari dikesan oleh sahabat-sahabatnya. Aisya cuba sehabis daya menyembunyikan bengkak tersebut dari dikesan oleh sesiapa.

Waktu cuti pertengahan semester menjelang, Aisya yang menuntut di Universiti Malaya (UM) mengambil jurusan Tasawwuf kerana minatnya terlalu mendalam terhadap bidang ini. Baginya mempelajari Tasawwuf merupakan ilmu yang penting untuk menyucikan hati bagi mendekatkan diri pada Allah. Tahun ini merupakan tahun ketiga dia berada di UM,hanya tinggal satu tahun setengah saja lagi untuk menamatkan pengajian.

Menghabiskan cuti dikampung

“Sya, emak rasa elok kita pergi jumpa bomoh, bengkak Sya tu bukan bengkak biasa. Kalau bisul, takkan la lama sangat tak surut-surut lagi”, emak Aisya memulakan bicara.

Kain-kain yang diangkat dijemuran tadi dilipat satu demi satu. Aisya menolong emaknya melipat kain.

“Sya rasa lepas ni hilanglah bengkak ni. Rasanya tak de apa-apa. Lagipun Sya tak rasa sakit pun, mak janganlah risau”, Aisya cuba meyakinkan emaknya. Tangannya menggapai kain sarung dan dilipatnya.

“Tapi bengkak tu dah lama, Sya tak rasa risau ke? Esok mak bawak Sya pergi jumpa bomoh kat kampung sebelah tu”, kali ni emak Aisya seperti bertegas.

Aisya seperti tidak berdaya lagi untuk menolak perlawaan emaknya yang dah berkali-kali ingin membawanya untuk berjumpa bomoh.

Air bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diberikan oleh bomoh disapu pada bengkak tersebut. Hari demi hari berlalu, namun seperti tidak menampakkan sebarang kesembuhan. Namun Aisya tidak berputus asa, selain meminum air penawar, dia juga sering solat hajat dan berdoa meminta semoga Allah memberikan kesembuhan pada penyakitnya.

Cuti seminggu tersebut dihabiskan di kampung dengan bertemu bomoh dan berehat dirumah. Aisya menyangka,bengkak tersebut hanyalah ketulan seperti biasa. Lantaran itulah dia merasakan tidak perlu berjumpa doktor.

Meneruskan perjuangan di kampus

“Pukul berapa awak sampai semalam?”, tanya Zainab.

“Baru je petang tadi, kira-kira pukul 5”, Aisya menjawab ringkas.

Aisya berbaring kepenatan di atas katilnya. Diari miliknya bertajuk “Dari Hati Kecilku” diambil. Dia membelek-belek aktiviti sepanjang bulan Mac yang ditandainya.

“Agak padat juga aktiviti sepanjang bulan tiga ni”, bisik hatinya.

Usrah, kelas Al-Quran, majlis ilmu dan lain-lain semua aktivitinya dicatatkan didalam kalendar diarinya untuk melancarkan gerak kerja.

Aisya merupakan seorang aktivis mahasiswi yang sangat aktif di UM. Kebanyakan mahasiswi mengenali Aisya kerana beliau seorang yang sangat berkomitmen dengan gerak kerja dakwahnya didalam Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) UM. Adik-adik usrahnya juga sangat menyenangi Aisya yang berperwatakan sederhana.

Teett..Teett..Deringan handphone berbunyi

“Salam,insyaAllah malam ini akan diadakan meeting AJK program Maulid Nabi jam 10 malam di bilik JPK KK3”, Aisya membaca perlahan.

Begitulah kehidupan Aisya dan kawan-kawannya. Selain dari belajar dikuliah, mereka juga sibuk dengan aktiviti dakwah dikampus mereka.

Demam Yang Berlarutan

Masa semakin berlalu pergi. Aisya seperti biasa ke kuliah di temani sahabatnya Zainab.

Hari itu Aisya tidak seceria seperti biasa. “Kenapa dengan awak Aisya?, saya tengok lain macam je muka awak? Awak tak sihat ke?”, Zainab inginkan kepastian.

“Tak de apa-apa, saya cuma rasa seperti nak demam”, Aisya menjawab ringkas.

Bengkaknya bertambah besar, sakitnya juga agak menyengat sehingga menyebabkan tubuhnya kepanasan.

“Oh yake? kalau macam tu, awak pergi ke klinik saya boleh temankan”, Zainab menawarkan pertolongan.

“Eh takpelah, saya boleh teruskan. Takkan sakit sikit pun dah nak manja”, Aisya cuba meyakinkan Zainab

Pulang dari kuliah, Aisya menyentuh bengkak tersebut.

“Ya Allah! Kuatkanlah hatiku menahan ujianMu”, bisik hatinya.

Bengkak itu berdenyut-denyut sehingga mencengkam ke tulang. Selama tiga hari Aisya mengambil cuti rehat. Memandangkan keadaannya semakin teruk, emak Aisya memintanya pulang ke kampung untuk berubat dikampung. Akhirnya malam itu juga, Aisya berangkat pulang ditemani Zainab.

Zainab pula beranggapan, Aisya perlukan rehat dan bertemu keluarga. Dia langsung tidak mengetahui keadaan bengkak Aisya kerana Aisya sangat bijak menyembunyikan masalahnya.

Sakit Yang Terjawab

Pagi itu Aisya dan emaknya ke hospital pakar berjumpa dengan doktor.

“Sebelum saya memberitahu keputusan ini, saya berharap agar awak dan mak cik dapat bersabar ”, jelas doktor dengan tenang.

“Setelah saya memeriksa bengkak yang ada kat belakang awak ni, saya dapati bengkak tersebut ialah kanser tulang”

Aisya menekup mukanya perlahan. “Astaghfirullahala’zim”, Aisya beristighfar.

“Dan kanser tersebut sudah berada di tahap 4, iaitu tahap yang kritikal”, doktor menyambung penjelasan.

Tanpa disedari air mata berlinang di kelopak pipi Aisya, emaknya pun sama. Mereka berpelukan.

“Namun, jangan bimbang. Harapan untuk sembuh masih ada. Kita boleh teruskan dengan rawatan kemoterapi dan rawatan susulan yang lain. InsyaAllah, peluang untuk sembuh tu ada”, jelas doktor.

Petang Yang Hening

Petang itu dilalui dengan penuh kesayuan. Aisya bersandar di katil biliknya. Diari kecilnya di ambil dan dibuka, pen dicapai. Dia menulis luahan di dalam diarinya.

Hari ini aku bertemu doktor, dan aku disahkan dengan sakit kanser tulang. Ya Allah! Tabahkanlah hati hambaMu ini.

Saudara mara datang melawat Aisya dirumah, esok Aisya akan ditahan diwad untuk memulakan rawatan.

“Kenapa tak jumpa doktor awal-awal”, Mak Cik Yah bersuara.

“ Kerja Tuhan tu semua, tak sangka pula boleh jadi macam ni”, emak Aisya bersuara.

Masing-masing tidak menduga bengkak yang biasa bertukar menjadi luar biasa. Kini hanya usaha rawatan dan doa yang mampu dilakukan.

MENANGGUHKAN PENGAJIAN

Pengajian yang berbaki kira-kira setahun lagi terpaksa ditangguhkan. Kali ini semua sahabat-sahabat Aisya sudah maklum tentang penyakitnya. Ramai sahabat-sahabat PMI datang melawatnya dihospital. Mereka memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada Aisya. Ada yang datang menghadiahkan buku untuk bacaan Aisya. Antaranya buku “La Tahzan” dan lain-lain.

Sepanjang dihospital, Aisya menghabiskan waktu dengan membaca buku hadiah pemberian sahabatnya. Baginya masa tidak boleh dibiarkan dengan begitu saja

Rawatan Kemoterapi

12 September 2009, Seperti yang tercatat di dalam kad temujanji. Hari ini Aisya akan menjalani rawatan kemoterapi buat kali pertama. Kali pertama membuat rawatan kemoterapi, tubuhnya menjadi lemah. Darah mula keluar dari hidungnya kerana kesan ubat yang menyebabkan tubuhnya menjadi sangat panas.

Namun Aisya seorang yang sangat tabah. Saudara mara dan rakan-rakannya juga mengakui hal ini. Aisya tidak pernah menunjukkan kesedihan di hadapan sahabat dan saudara maranya. Aisya berusaha menceriakan suasana setiap kali ada tetamu yang datang melawatnya. Malah mereka yang datang melawat itulah yang terlebih dahulu menitiskan air mata kerana terlalu bersimpati dengan nasib Aisya

Dihospital itu, di kiri dan kanannya Aisya menyaksikan telah ramai yang menghidap kanser pergi dahulu darinya. Menyaksikan kematian mereka disekelilingnya adalah perkara biasa.

Memandangkan rawatan kemoterapi diadakan setiap 3 bulan sekali, Aisya dan emaknya mengambil keputusan untuk pulang kerumah.

Berangkat ke Mekah

“Mak dengan ayah pergilah ke Mekah, sakit Sya ni nanti sembuh, mak dengan ayah janganlah risau”, Aisya memujuk.

“Mak risau tinggalkan Sya, tengok keadaan Sya macam ni”, jelas emak Aisya

“Erm..mak jangan risau,macam ni kalau mak pergi ke Mekah. Mak dengan ayah boleh doakan kesembuhan Syaa kat sana, lagipun kat sini abang Long dengan abang Ngah ada, boleh je mereka tu jaga Sya ni”, Aisya semakin beria memujuk emak dan ayahnya.

Beberapa hari ini, perbualan mereka sekeluarga berkisar tentang keadaan emak dan ayah Aisya yang keberatan untuk berangkat ke Mekah mengerjakan haji. Duit yang dikumpul selama ini telah mencukupi, persediaan juga telah dilakukan. Namun kehendak dan takdir Allah pula yang menguji hasrat mereka.

Setelah dipujuk berkali-kali. Emak dan ayah Aisya semakin yakin untuk membuat keputusan. Akhirnya, selepas saja menunaikan solat Isyak, emak dengan ayah Aisya membuat persiapan terakhir untuk ke lapangan terbang Kota Bharu. Saudara mara datang mengiri pemergiaan mereka.

Di tangga rumahnya, Aisya berjalan perlahan berbekalkan tongkatnya. Disitu mereka berpelukan. Masing-masing tidak dapat menahan sebak. Air mata deras mengalir laju dari pipi Aisya. Begitu juga dengan ayah dan emaknya. Saudara-saudara yang datang juga kelihatan terharu.

“Sya jaga diri baik-baik”, emaknya sebak.

“InsyaAllah..mak dengan ayah pun sama. Emak doakan Sya kat sana nanti semoga cepat sembuh”, Aisya sayu bersuara.

Sebaik emak dan ayahnya berangkat. Aisya masuk ke biliknya. Tanpa di undang air matanya semakin menderas laju. Banyak perkara terlintas difikirannya, adakalanya positif dan tidak kurang juga negatif. Namun dia cepat-cepat beristighfar memohon perlindungan dari Allah.

Diarinya di ambil, seperti biasa dia mencatatkan sesuatu didalam diari luahan hatinya.

“Emak dengan ayah bertolak ke Mekah. Alhamdulillah, akhirnya mereka dapat menunaikan hasrat mereka. Ya Allah Engkaulah lindungilah kedua ibu bapaku disana. Ya Allah berikan aku kekuatan dan ketabahan untuk berdepan dengan ujianMu ini.

Aisya kau mesti kuat! Ini ujian dari Allah, ingat pesan ustazah Khadijah masa sekolah dulu. Ini tanda Allah sayangkan kau”

Diberhentikan dari Pengajian

Dengan penuh kesabaran, Aisya menggerakkan batang tubuhnya perlahan-lahan. Dalam keadaan yang lemah Aisya menggapai tongkatnya menuju ke bilik air. Dingin air pagi itu membasahi tubuh Aisya untuk berwuduk. Jam menunjukkan 4.30 pagi.

Sejadah dibentang untuk melakukan solat Tahajjud. “Allahuakbar”, tangan diangkat. Kali ini Aisya sangat tidak terdaya lagi untuk solat berdiri menyebabkannnya terpaksa solat sambil duduk. Sebaik memberikan salam, Aisya berdoa dengan bersungguh-sungguh. Air matanya mengalir bagaikan tidak mahu terhenti. Bukan dia tidak redha dengan ketentuan ini, tetapi dia cuma hendak mengadu kepada Sang Pencipta.

Jam 9 pagi, Rokiah, adik Aisya menerima satu surat dari UM. Surat itu dibuka perlahan-lahan.

Dengan ini, di sahkan Aisya bt Razak diberhentikan dari pengajian berkuatkuasa 9 Disember 2009.

Baris tersebut dibaca berulang kali oleh Rokiah. Dia merasa sungguh terkejut dengan berita tersebut. Surat disembunyikan dari pengetahuan Aisya kerana bimbangkan keadaan kesihatannya.

MUHASABAH CINTAKU

Hari-hari dilalui Aisya penuh dengan kesabaran. Rawatan kemoterapinya telah tamat beberapa hari yang lalu. Aisya semakin kurus, rambutnya semakin gugur.

Setiap kali kerinduan kepada emak dan ayahnya, Aisya akan menelefon mereka. Perbualan mereka seperti biasa. Aisya pula sangat pandai untuk melayan ayah dan emaknya sehinggakan emak dan ayahnya merasa gembira mendengar suara Aisya.

Sepanjang emak dan ayah Aisya di Mekah, Mak Cik Yah iaitu emak saudara Aisya yang selalu menjenguk dan melihat keadaan Aisya. Adakalanya dia akan memasak untuk Aisya dan adik beradiknya yang lain.

“Assalamualaikum wbt. bersabar ya Sya, ini ujian dari Allah setiap manusia akan diuji oleh Allah, cuma keadaan yang berbeza,mungkin ini jalan yang Allah ingin uji kat Sya”. Sabar ya dik..

Aisya membaca kata-kata semangat dari hanphonenya yang dihantar oleh sahabatnya. Dalam hatinya dia merasa sangat bersyukur kerana dikurnikan ramai sahabat-sahabat yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat padanya.

Hari ini telah hampir sebulan, emak dan ayah Aisya ke Mekah. Entah kenapa pagi itu, Aisya merasa sungguh rindu pada emak dan ayahnya. Sakitnya juga semakin teruk sehingga menyebabkan kepalanya juga berpusing-pusing. Dua ke tiga hari ini juga, dia merasa kepalanya seperti berdenyut-denyut dengan kuat.

Dalam keadaan yang sakit, Aisya berdoa dalam hati supaya diberikan yang terbaik buat kehidupannya sekeluarga. Hatinya dilanda keserabutan kerana merasakan dia telah membebankan adik beradik yang lain untuk menjaganya. Namun, dia tetap berusaha untuk melakukan semua perkara dengan sendiri walau terpaksa berjalan dengan tongkat. Tiba-tiba air matanya mengalir sayu.

Kita dengarkan sebuah lagu yang bertajuk Muhasabah Cinta dendangan Edcoustic. Lagu ini mengisahkan seorang yang sakit yang akhirnya pasrah dengan kesakitannya. Mungkin inilah yang cuba dikisahkan melalui lagu ini. Kita dengarkan..

Suatu suara dari corong radio IKIM terdengar. Aisya menghayati lagu itu. Sungguh syahdu namun seakan memberikan kekuatan baru kepadanya. Dia menulis lirik lagu tersebut dalam diarinya.

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu

Hari-Hari yang Teruji

Kringgg!!!! Jam loceng kedengaran. Jarum pendek tepat menunjukkan jam 4 pagi.

“Alhamdulillah,aku masih disedarkan olehMu Ya Allah. Dah hari jumaat pun hari ini, penghulu segala hari”, bisik Aisya sendirian.

Jam loceng dimatikan, dengan perlahan-lahan Aisya menggerakkan tubuhnya ke bilik air.

“Ya Allah, sakitnya!” jerit batin Aisya. Air matanya mengalir keluar menahan kesakitan.

“Ish manjanya engkau Aisya, sabar lah! Abu bakar bersabar saat kakinya dipatuk ular sehingga menahan kesakitan kerana menjaga Rasulullah”, Aisya berkeras memujuk hatinya

Seperti biasa sebaik sahaja selesai menunaikan solat tahajjud, Aisya akan membaca Al-Quran beserta terjemahan. Tiba-tiba hati Aisya bergetar. Kali ini bibirnya terhenti membaca suatu terjemahan surah Al-Baqarah ayat bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Ayat tersebut sungguh memberikannya kekuatan dan keyakinan kepada Allah swt.

“Alhamdulillah, syukur Ya Allah kerana memberikan petunjuk di atas ketetapan ujian ini”, hatinya berbicara lagi.

Hatinya semakin kuat, fikirannya semakin positif.

Aidiladha yang Berlainan

Hari raya Aidiladha disambut tanpa kedua ibu bapanya. Aisya beserta adik beradiknya menyambut aidiladha kali ini secara sederhana. Hanya kuih muih yang biasa saja di buat untuk hidangan tetamu.

Sayup-sayup kedengaran takbir aidiladha berkumandang dimasjid kampung Padang Besar. Kampung itulah tempat Aisya membesar. Suasana aidiladha kali ini sungguh berbeza, pertama kali ini Aisya beraya tanpa kedua ibu bapa disisi. Kali pertama tanpa solat sunat aidiladha.

“Assalamualaikum”, terdengar satu suara dari luar rumah.

“Walaikumussalam. Oh, mak Cik Yah. Silalah naik ke atas”, Rokiah mempelawa.

Seharian Mak Cik Yah dirumah Aisya menemani keluarganya dan juga membantu menguruskan Aisya

Hari demi hari berlalu, tubuh Aisya semakin kurus kering. Rambutnya semakin gugur.

Beberapa hari selepas menyambut aidiladha, mak dan ayah Aisya akhirnya pulang ke tanah air. Suasana sekali lagi bertukar sayu. Mak dan ayah Aisya sungguh terkejut melihat keadaan anaknya itu. Suara yang didengar dari kejauhan selama ini seperti memberi khabar anaknya semakin sihat rupa-rupanya tidak. Aisya sekali lagi bergurau untuk menceriakan suasana, namun kali ini dia tewas. Gurauanya hanya menyeka air mata dikelopak pipinya. Aisya menangis hiba dalam pelukan emaknya.

KEREDHAANKU SEHINGGA KE AKHIR HAYAT

Usai menunaikan solat Subuh, Aisya membaca Al-Quran. Sakitnya tidak tertanggung lagi. Aisya menggapai diari kecilnya.

Pagi Khamis, hari ini aku sungguh gembira kerana masih diberikan nafas oleh Allah. Aku mampu bertaubat lagi kepadaMu Ya Allah. Ya Allah! Engkau hidupkan lah aku selagi kehidupan ini baik untukku dan matikanlah aku selagi kematian ini baik untukku

Keredhaanku sehingga ke akhir hayat.

Jam 7.15 pagi, menjadi kebiasaan keluarga Aisya untuk bersarapan bersama-sama. Kali ini Aisya kelihatan sungguh gelisah, sakit kepalanya tidak mampu ditanggung lagi. Namun dia tetap menggagahkan diri untuk menyuapkan nasi ke mulutnya.

“Kenapa dengan Sya,nampak macam gelisah. Sakit kepala Syaa makin sakit ke”, ayah Aisya bersuara.

“Aah..Rasa makin berdenyut-denyut pula”, Aisya membalas.

“Mak, mak ada terbaca tak kisah ujian dari Allah yang ditimpakan kepada orang yang baru balik dari Mekah”, Aisya tiba-tiba melontarkan persoalan.

“Eh..mak tak ada baca lagi, kenapa tiba-tiba tanya?”, emak Aisya inginkan kepastian.

“Tak ada, Aisya ada terbaca kat buku Solusi yang baru dibeli tu. Dalam buku tu ada mengatakan antara ujian orang yang baru pulang dari Mekah akan kehilangan anak yang tersayang”, Aisya memberi penerangan sambil menyuapkan roti ke mulutnya.

“Nanti mak baca, dah-dah makan roti tu. Malam nanti kita sama-sama tengok buku tu”, emak Aisya segera mematikan perbualan.

Selepas bersarapan, masing-masing semua turun dari rumah untuk ke tempat kerja kecuali ayah Aisya. Hari ini kebetulan ayah Aisya bercuti untuk menjaganya.

Aisya berjalan dengan tongkatnya ke ruang tamu sebaik selesai makan. Sambil bersandar di kerusi. Dia membaca Al-Quran. Baginya kehidupan yang dilalui perlu diisi dengan sebaik mungkin.

“Sodaqollahula’zim”, Aisya mengakhiri bacaan Al-Quran

Tiba-tiba dengan tidak semena-semena, sakit kepala yang kuat menyerang. Aisya memegang kepalanya. Dia membacakan ayat-ayat suci Al-Quran, namun tidak ada sebarang kesan. Kali ini dia tidak mampu menahan lagi.

“Ayah,ayah…! Tolong Sya”, jerit Aisya.

Ayah Aisya yang berada di depan rumah segera naik ke atas rumah sebaik sahaja mendengar jeritan Aisya.

“Kenapa Sya?”, ayahnya bertanya.

“Sakit kepala, ayah Sya nak balik. Mintak maaf banyak-banyak kat semua”, Aisya bersuara tersekat-sekat.

“Mengucap Sya. Ashaduallailahaillallah”, ucapan syahadah dibisikkan ke telinga Aisya.

Dalam keadaan terbaring, Aisya menyebut perlahan-lahan. Nafasnya tersekat-sekat. Selepas itu dia terus tidak sedarkan diri.

Penantian Yang Pasti

Aisya masih tidak sedarkan diri. Mak cik Yah dan emak Aisya bersama-sama menunggu Aisya. Jam 10 malam,doktor memanggil mereka.

“Selepas kami membuat pemeriksaan, didapati kuman yang menyerang kanser tulang anak puan telah menyerang ke otak, hanya tinggal serpihan otak yang belum di serang”, doktor memberikan penjelasan.

Mereka terkejut dengan penjelasan doktor. Namun tetap redha walau apa yang berlaku. Kini hanya doa mampu dipanjatkan semoga Allah memberikan yang terbaik untuk Aisya dan mereka sekeluarga.

Jam 5.00 pagi hari Jumaat, di hospital Kota Bharu. Suasana sunyi sepi. Aisya masih tidak sedarkan diri. Mak cik yah tidak henti-henti membaca yassin disisi Aisya. Emak Aisya pula begitu mengantuk sekali sehingga tidak dapat membuka mata.

“Allahuakbar! Allahuakbar! Azan sayup-sayup kedengaran dari surau di sebelah jalan hospital tersebut”.

Tiba-tiba Aisya seperti menggerakkan jari, dahinya kelihatan tegang menampakkan dengan jelas urat-urat biru pada dahinya.

“Mak ja bangun-bangun, cuba tengok Sya ni kenapa?,Mak cik Yah mengejutkan emak Aisya.

Emak Aisya membisikkan kalimah syahadah ke telinganya.

Nafas Aisya tersekat-sekat seperti menahan kahak ditekaknya. Matanya berkedip-kedip. Mulutnya seperti ingin menyebut sesuatu. Emak Aisya merapatkan telinga ke mulut Aisya.

“Mintakk…maaf pada semuaaa…”, sebutan Aisya tersekat-sekat. Air mata mengalir dari pipinya.

“Mak dan semua dah lama maafkan Sya”, sayu mak Aisya bersuara.

Mesin tiba-tiba terhenti. Doktor dipanggil selepas keadaan menjadi panik.

“Maaf, Allah lebih sayangkan dia”, doktor bersuara sayu.

“Sya pergi dulu dari mak”, tenang Emak Aisya bersuara.

Pagi Jumaat itu, jasad Aisya terbujur kaku di ruang tamu. Kain batik menutupi tubuh Aisya. Wajahnya tersenyum tenang. Dahinya bersinar keputihan. Dari senyuman wajah tidurnya seperti terpancar sinar keyakinan bahawa Aisya kini seperti menemui ketenangan. Ketenangan bertemu apa yang dicari. Kesabarannya yang dulu teruji kini telah terjawab.

Ahli keluarga, sahabat handai dan jiran-jiran memenuhi rumah Aisya. Masing-masing datang untuk melawat Aisya buat kali terakir.

Rokiah mengucup dahi Aisya buat kali terakhir. Begitu juga dengan adik beradik yang lain.

“Selamat tinggal kakakku,semoga dirimu berbahagia dialam sana”, bisik Rokiah

Tanpa di jemput, air mata mengalir deras keluar. Rokiah cepat-cepat mengusap air matanya. Tiba-tiba Rokiah ternampak satu buku kecil disebelah katil arwah. Rokiah memperlahankan gerakannya bersandar ditepi dinding.

“Buku apa ni”,? Tanya Rokiah sendirian.

Rokiah membaca helaian demi helaian, air mata nya semakin laju disisi arwah. Dia cuba menenangkan perasaanya. Rokiah menatap satu persatu catatan arwah kakaknya.

Ya Allah, sesungguhnya berat ujian yang Engkau berikan kepadaku. Namun aku yakin inilah jalan terbaik yang telah Engkau tentukan untukku. Ya Allah hidupkanlah aku selagi kehidupan ini baik untukku dan matikanlah aku selagi kematian ini baik untukku.

Terima kasih Ya Allah, kerana memberikan aku peluang, semangat sehingga ke saat ini. Terima kasih Ya Allah atas anugerah kasih sayang yang Engkau alirkan kepada kedua ibu bapaku, adik beradikku, sahabat-sahabatku. Sungguh mereka sangat menyayangiku dan aku tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan sebagai balasan. Hanya sekelumit doa buat mereka semua.

Ya Allah, aku redha dengan ketentuanMu, aku pasrah dengan penyakit ini.

Keredhaanku Sehingga Ke Akhir Hayat”

Rokiah menatap jasad kakaknya, air mata semakin menderas laju.

“Sungguh tabah dirimu kak, sebab itulah Allah anugerahkan sakit ini kepada kak”, bisik hati kecil Rokiah.

Usai menunaikan solat jenazah, Aisya selamat dikebumikan ditanah perkuburan Kampung Padang Besar, dalam umur 25 tahun. Arwah pergi menghadap Ilahi dengan penyakit kanser tulang.Al-Fatihah.

PENGAJARAN

1. Cerita ini adalah kisah benar yang berlaku dalam kehidupan penulis. Cuma watak, tempat dan jalan cerita diubahsuai bagi menyesuaikan dengan cerita dan bagi memastikan identiti dan jalan cerita tidak berkait dengan sesiapa.

2. Kehidupan banyak ujian dan halangan. Masih ramai diluar sana yang diuji hebat oleh Allah. Cuma kita yang tidak mengetahui atau sering terlupa. Bersyukurlah dengan kesihatan yang Allah berikan kepada kita.

P/S: sebarang copy paste hendaklah meminta kebenaran dari “hamba” dan disertakan alamat blog hamba supaya tidak ada perubahan jalan cerita atau rekaan yg lain..TQ

Thursday, April 7, 2011

PINJAMAN


7-4-2011. Hari ini sekali lagi jiwa saya diuji oleh Allah swt dengan ujian kasih sayangNya Yang hanya Dia Maha Mengetahui hikmah yang terselindung disebalik semua perkara yang terjadi. Handphone saya hilang. Bila diimbas kembali, betapa susahnya untuk mendapatkan handphone tersebut. Masih saya ingat duit tersebut hasil daripada Latihan Industri semasa di Puchong tahun lepas. Duit itu saya bahagikan kepada beberapa bahagian, antaranya untuk peruntukan handphone ini. Seperti tersentak, baru je beberapa semester yang dulu saya kehilangan laptop, kini handphone saya pula hilang.

Bila direjam nafsu sedalam-dalamnya, hati kecil akan bersuara. Bahawa segala yang dimiliki adalah semua milikNya, semua adalah pinjaman dariNya, Dia layak untuk mengambil bila-bila masa segala pinjamanNya.Boleh jadi saya akan kehilangan ibu,bapa,keluarga secara tiba-tiba. Boleh jadi Allah akan mengambil segala nikmat yang ada pada saya. Malah kita sendiri layak diambil nyawa bila-bila masa oleh Allah, semua yang ada pada kita hanyalah PINJAMAN bukan hak mutlak kita. Kita hanya diberi kuasa untuk MEMINJAM & MENJAGA AMANAH ini..

Inilah juga rencah kehidupan, sakit,tawa,tangis,duka,gembira,ceria,kecewa,,semuanya akan mewarnai kehidupan kita, menjadikan kehidupan kita lebih menarik dan pasti akan mengajar kita erti kehidupan yang sementara didunia ini. Sesungguhnya menyedari hakikat diri kita sebagai hamba adalah puncak ketinggian insan. MUHASABAH BUAT HAMBA YANG HINA

JOM HAYATI LAGU INI, SANGAT MEMBERIKAN KEKUATAN PADA JIWA KITA SEBAGAI HAMBA..

Lirik Lagu Opick – Cahaya Hati

Allah engkau dekat penuh kasih sayang
Takkan pernah engkau biarkan hamba-Mu menangis
Karna kemurahan-Mu
Karna kasih sayang-Mu

Hanya bila diri-Mu
Ingin nyatakan cinta
Pada jiwa yang rela dia kekasih-Mu
Kau selalu terjaga yang memberi segala

Allah Rahman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi
Allah Rohman Allah Rahim
Allahu Ya Ghafar Ya Nurul Qolbi

Di setiap nafas di segala waktu
Semua bersujud memuji memuja asma-Mu
Kau yang selalu terjaga yang memberi segala

Setiap mahluk bergantung pada-Mu
Dan bersujud semesta untuk-Mu
Setiap wajah mendamba cinta-Mu cahaya-Mu

Yaa Allah Ya Rahman
Yaa Allah Yaa Alllah Yaa Allah
Ya Nurul Qolbi
Yaa Allah