Tuesday, March 27, 2012

KEHEBATAN ALLAH MENCIPTAKAN MINDA

Salam wbt

InsyaAllah, kali ini ana ingin berkongsi berkenaan dengan kehebatan Allah yang menciptakan minda kita dengan sangat ajaib dan hebat. Bila kita teliti apa yang ada pada diri kita, kita akan bertemu dengan apa yang Allah katakan dalam Al-Quran

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya) - At-Tin ayat 4

Antara kejadian terhebat yang Allah ciptakan ialah otak, secara zahirnya dipanggil otak dan secara “batinnya” dipanggil minda ataupun mungkin akal. Kenapa dikatakan hebatNya Allah swt menciptakan otak kita.

Perhatikan pertamanya pada skruktur atau kedudukan otak kita, sepertimana kita tahu otak adalah antara komponen yang sangat penting pada tubuh badan kita, kemampuan akal untuk berfikir adalah dari otak. Banyak kelebihan-kelebihan pada otak ni. Memandangkan fungsinya yang sangat-sangat penting, maka Allah menciptakan kedudukannya berada di dalam sarung perlindungan yang sangat hebat iaitu kepala. Seterusnya mata dan telinga berada dekat dengan otak kita, bayangkan segala benda yang datang menerpa untuk mencederakan otak kita dapat kita lihat dengan mata dan dapat kita dengar dengan telinga yang berada dekat dengan kepala kita. Sebab tu kaki kita lebih kerap tersepak benda bila berjalan sebab mata tidak berada dibawah. Hebatkan Allah swt?

Minda kita terbahagi kepada dua iaitu minda sedar dan minda separa sedar. Minda sedar juga dikenali sebagai minda segar. Bila kita perlu berfikir menyelesaikan sesuatu masalah kita menggunakan minda sedar. Maksudnya kita perlu berfikir secara sedar untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contoh mudah ialah sewaktu kita berada di dalam dewan peperiksaan, kita akan diuji dengan menggunakan minda sedar ni. Contoh lain, cuba bayangkan gajah berwarna oren? Anda perlu berfikir bukan untuk mendapatkan imaginasi gajah berwarna oren? Yalah sebab gajah yang biasa kita lihat bukan berwarna oren. Jadi kita perlu berfikir untuk membayangkan gajah warna oren, itulah contoh penggunaan minda sedar.

Seterusnya berbalik kepada minda separa sedar atau juga dikenali sebagai minda tabiat. Minda tabiat terbentuk melalui perkara yang kita lihat, perkataan dan gambaran yang berulang-ulang. Contohnya, pernahkan kita sewaktu awal-awal kita belajar memandu kereta, kita perlu berfikir untuk menukar gear, nak tekan clutch dan lain-lain. Tapi apabila kita kerap memandu kereta, kita menjadi biasa dengan keadaan tersebut. Malah kita tidak perlu lagi berfikir untuk melakukan tindakan tersebut kerana telah sebati dengan kita. Pernahkah kita berfikir bagaimana perkara tersebut boleh berlaku? Sebenarnya telah berlaku proses pemindahan maklumat dari minda sedar kepada minda separa sedar atau minda tabiat atas pengulangan yang kita lakukan. Banyak lagi contoh-contoh lain yang ada, mungkin sahabat-sahabat sendiri boleh fikirkan dan cuba ingat perkara yang dulu kita rasa payah,susah akhirnya menjadi tabiat yang kita buat dengan mudah sekarang.

Kajian menunjukkan, pemikiran kita di hasilkan oleh 5% minda sedar dan 95% dihasilkan oleh minda tabiat. Bayangkan aktiviti harian kita banyak menggunakan minda tabiat. Kita tak perlu berfikir untuk gosok gigi bila bangun pagi, kita tidak perlu berfikir nak sarungkan baju macam mana, kita tidak perlu berfikir untuk buka pili air dan lain-lain. Memang tindakan kita berlaku secara tabiat yang telah kita set dalam pemikiran kita, namun semuanya berlaku atas kawalan Allah swt. Ana kira orang yang mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya dengan penuh kesedaran, adalah orang yang hebat. Orang yang solat dengan khusyuk penuh kesedaran adalah orang yang hebat.

Jadi ibadat berlaku jika niat kita betul kerana Allah penuh kesedaran, bukan secara kebetulan. Ana ulang kata-kata seorang ustaz dulu, dia kata kalau kita minum air walau baca bismillah tapi lepas minum tak ingat baca ke tak, tak niat kerana Allah. Maka hal tersebut hanya menjadi adat bukan ibadat. Mungkin di sini penting hidup yang penuh sedar, bukan hidup sekadar hidup. Kalau hidup sekadar hidup, nanti mati kita akan terkejut dan baru hidup. Ibarat orang yang terjaga dari mimpi, bila tersedar baru perasan yang rupa-rupanya selama ini dia tidur. Tak ingat kata-kata atau hadis berkenaan dengan ini.

Kenapa pula perlu dengar tazkirah dimasjid setiap masa? Mengapa peringatan di katakan bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Pendapat ana, ini antara sebabnya, peringatan yang berulang-ulang walau perkara yang sama adalah untuk set minda tabiat tadi supaya sedar dan ingat bahawa ada kehidupan selepas kematian, jangan terlalu rakus mengejar dunia sehingga melupakan akhirat, jangan lari fokus dalam hidup dan lain-lain. Mungkin betul, mungkin salah. Ini pendapat ana sendiri.. Semoga kita sentiasa merendah hati untuk mendengar segala nasihat dan peringatan yang boleh manfaat kepada kita.

Kesimpulannya, sudahkah kita memanfaatkan sepenuhnya otak yang Allah kurnaikan pada kita? Apakah yang sebenarnya yang kita inginkan didalam hidup ini? Apakah visi dan misi hidup kita? Sudahkah kita menulis dan membaca setiap hari misi dan visi hidup kita untuk “ingatkan” dalam minda tabiat kita? Jika belum, mulailah menulis tentang harapan, cita-cita dan apa sahaja yang kita ingin didunia dan diakhirat dalam usaha meraih keredhaan Allah. Kita baca secara berulang-ulang, buat gambaran dalam minda kita. Bayangkan kita menjadi seorang yang sangat baik, layan orang penuh kasih sayang, tak rasa diri hebat dan lain-lain. Bayangkan..biar ia menjadi tabiat asal kita. Tabiat asal kita sewaktu kita dialam roh dulu. Tabiat yang sangat baik dan dekat dengan Allah.

Ana jelaskan di sini, bila kita buat perkara ini bukan bermaksud kita bergantung pada minda kita semata-mata, jangan sesekali. Kita tidak boleh melepaskan diri dari pelukan Allah setiap masa, cuma ianya sekadar seperti “Peringatan” untuk minda kita seperti mana kita mendengar tazkirah. Hakikatnya, kita hanya mampu berusaha Allah yang memberikan segala-galanya. Semoga hati kita akan lebih terpaut dan dekat kepada Allah, semoga minda kita jauh lebih terbayangkan kehidupan selepas kematiaan berbanding hidup yang singat didunia sekarang.

Mintak maaf kalau ada salah dan silap dalam penulisan ni. Sekadar berkongsi ilmu. Semoga bermanfaat untuk kita bersama dalam usaha meraih kasih sayang Allah.

Wallahua’lam


Tuesday, March 20, 2012

KOMUNIKASI KITA

Assalamualaikum wbt..

Kali ini saya nak berkongsi dengan sahabat-sahabat semua berkenaan dengan komunikasi. Perkongsian ini saya dapat hasil daripada ceramah motivasi dan juga lain-lain. Rasa rugi jika ilmu tak dikongsi bersama. Semoga kita sama-sama dapat bermuhasabah dan memperbaiki diri berkenaan dengan komunikasi. InsyaAllah

Pertama sekali, suka saya ingatkan, setiap kali kita mendengar pengisian ataupun tazkirah samada di masjid atau dari sahabat-sahabat kita. Marilah kita sama-sama merendah hati, mendengar dengan teliti. Inject peringatan tersebut pada diri bukan pada orang lain dan jangan sesekali kita memandang rendah kepada sesiapa pun yang memberi peringatan selagi ia membawa manfaat kepada kita. Allah mengurniakan kita sepasang telinga untuk kita mendengar perkara-perkara yang membawa dekat kepada Allah. Allah tidak pernah mengizinkan telinga kita mendengar sesuatu dengan sia-sia melainkan ada sebab yang harus kita teliti? Kerana kita perlu ingat pelajaran dari Allah ini boleh hadir samada melalui orang-orang yang kita jumpa, suasana sekeliling, apa yang kita dengar, dan lain-lain. Maka dengarkanlah dengan teliti selagi perkara yang kita dapat itu membawa kebaikan kepada kita, jika kita menganggap orang tersebut perangai tak bagus untuk memberi nasihat kepada kita bermakna kita masih mempunyai rasa ego kerana kita meletakkan standard orang-orang tertentu sahaja untuk memberi teguran kepada kita. Semoga kita dijauhkan dari rasa tersebut.

Berbalik kepada tajuk diatas, komunikasi sering berlaku samada secara percakapan ataupun lain-lain. Kita berkomunikasi setiap hari. Kita berkomunikasi dengan Allah melalui solat, malah Allah juga berkomunikasi dengan kita melalui Al-Quran yang kita baca setiap hari. Lebih dari itu Allah berkomunikasi dengan kita melalui alam yang dipamerkan terbentang indah didepan mata kita. Langit yang tinggi tanpa tiang, burung-burung yang berterbangan tanpa jatuh, semut yang berada disekeliling kita, kucing yang berkeliaran disekeliling kita. Dan macam-macam lagi bentuk komunikasi yang lain. Bukankah banyak pertanyaan Allah kepada kita didalam al-quran, tidakkah kamu memerhatikan langit tanpa cacat, tidakkah kamu lihat burung yang terbang siapa yang menahan? Tidakkah kamu memikirkan? Dan macam-macam lagi pertanyaan Allah kepada kita. Bukankah komunikasi pernah berlaku antara Nabi Sulaiman dengan semut. Hakikatnya binatang-binatang sebenarnya sedang berkomunikasi dengan Allah melalui zikir cuma kita yang tidak dapat memahaminya. Jadi setiap kali kita memerhatikan alam yang terbentang dengan meluas, setiap kali kita menyaksikan apa jua kejadiaan alam. cuba tanya diri kita, apakah pelajaran yang Allah nak berikan kepada kita? Cuba kita perhatikan burung yang dapat rezeki dari Allah, macam mana hebatnya kuasa Allah mengilhamkan burung-burung untuk dapatkan makanan walau tanpa akal. Maha Suci Allah. Komunikasi juga boleh berlaku kepada diri sendiri. Kadang-kadang kita bercakap dengan diri kita sendiri. Suara hati kita berbicara kepada diri kita sendiri, ataupun ucapan yang lahir dari mulut kita tentang diri kita. Sebab itu kita kena berhati-hati dengan dua komunikasi ini terhadap diri, kerana apa yang kita fikirkan tentang diri kita iaitu imej diri kita dan apa yang kita katakan pada diri kita, itulah yang akan kita jadi.

Selain dari itu, komunikasi juga wujud antara kita dengan orang lain. Sememangnya komunikasi berlaku setiap hari samada melalui percakapan ataupun bahasa badan yang kita tunjukkan. Apa yang kita ucapkan, mimik muka yang kita pamerkan, itulah gambaran yang lahir dari pemikiran kita. Samada positif ataupun negatif, manusia yang berada didepan kita mampu membacanya. Contoh mudah, bila kita sedih dan gembira, perkataan yang kita ungkapkan juga berbeza dan eksperesi wajah kita juga akan menujukkan mimik muka yang berbeza-beza .

Menurut kajian, kesan komunikasi boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Words 7%, Tonaliy 38%, fisiologi 55%. Perkataan ialah ucapan yang kita cakap, tonality ialah nada suara samada tinggi atau rendah. Fisiologi ialah seperti senyum sebelum bercakap pandang orang dengan penuh kasih sayang dan lain-lain. Bayangkan fisiologi sangat-sangat mempengaruhi nilai komunikasi kita dengan orang lain. Manusia yang berkomunikasi dengan perasaan marah menunjukkan nada yang tinggi dan fisiologi yang sangat negatif. Mungkin boleh bayangkan sekejap macam mana kalau kita sedang memarahi orang lain. Penting untuk kita mengetahui tentang hal ini kerana komunikasi yang sebenarnya bukan sekadar apa yang kita cakap tetapi kesan yang orang dapat hasil daripada apa yang kita cakap. Sebab itulah sebelum kita menegur orang lain yang berperangai buruk, tingkatkan akaun emosinya terlebih dahulu. Beri pujian dan penghargaan sebelum memperbaiki, jangan kita terlalu gopoh untuk menegur kesilapan orang lain. Kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri, apakah teguran untuk melepaskan kemarahan kita atau untuk memperbaikinya. Kita tidak mampu mengubah orang lain hasil dari apa yang kita cakapkan, tetapi Allah yang mengubah hati manusia untuk merasai kesan atas apa yang kita perkatakan.

Hulurkanlah senyuman pada setiap orang dan pandanglah dengan penuh kasih sayang, tidak ada sebab untuk kita membenci sesiapa pun apatah lagi sahabat-sahabat kita di dalam perjuangan islam yang sebaris dengan kita. Kita tahu Rasulullah saw sangat baik melayan semua orang, akhlak baginda adalah al-Quran. Berkomunikasilah dengan baik, ingatlah ucapan yang lahir dari mulut kita lebih tajam dari mata pedang. Mampu menghiris perasaan orang lain, banyakkanlah mendengar ucapan orang lain dari bercakap banyak yang sia-sia kerana kita dikurniakan dua telinga dan satu mulut. Elakkan dari mengumpat orang lain dan memperlekehkan atau merendah-rendahkan orang lain. Ringkanlah mulut dengan ucapan terima kasih dan memohon maaf.

Akhir sekali, peringatan buat diri sendiri terutama. Ingatlah suatu hari nanti apa yang kita ucapkan akan dihitung didepan Allah swt. Masa kita melutut didepan Allah. Mulut kita akan terkunci dan anggota kita akan berbicara. Semoga kita terpelihara dari komunikasi yang sia-sia.
Mintak maaf kalau apa yang saya tulis mengguris rasa, ayat berterabur dan sebagainya. sekadar perkongsian. Semoga bermanfaat untuk kita bersama.

Wallahua’lam