Sunday, November 9, 2008

Jejak2 roda kehidupan!!!!!




Hari ini lembaran yang baru membuka tirai, roda masa kehidupan terus berputar selagi nafas masih dipinjamkan oleh Allah s.w.t kepada kita bererti tanggungjawab dan tugas kita sebagai hambaNya mestilah dilaksanakan sebaiknya agar bila tiba suatu hari bila mana saat kembalinya kita kepada Allah s.w.t, segala amalan yang dipersembahkan adalah yang terbaik.


Teringat penulis akan kata-kata dari lirik sebuah lagu “syurga itu terlalu manis bukan sedikit mahar yang perlu dibayar,bukan sedikit janji yang ditagih” . Kita mengimpikan syurga tetapi sejauh manakah usaha kita kearah itu. Kita mendambakan redha Allah, tetapi sejauh manakah pengorbanan yang kita lakukan semata-mata untuk mencari keredhaanNya.

Jika kita meneliti kembali sirah perjalanan ISLAM pada zaman Rasulullah kita akan dapat melihat pengorbanan yang besar dilakukan oleh mereka antaranya Zinnirah seorang muslimat yang sanggup berkorban demi mempertahankan akidah yang telah meresapi kedalam hatinya.

Mari kita hayati apakah PENGORBANAN yang Zinnirah lakukan. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda. dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah

Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba. Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah.


Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. beliau telah menerima dengan sepenuh hati. Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.


Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keislamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Seetlah diselidiki, nyatalah bahawa hambanyameniggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah dan agama Islam sebelum keislamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.w. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anaknya perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum Muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalah rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan. Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya.




"Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan." Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah memeprtahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. hatinya dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi.

Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.

Sebenarnya penulis sendiri masih terkapai-kapai mencari erti kehidupan yang sebenar. Secara ikhlasnya iman ini sentiasa turun naik seperti roda sekejap di atas dan sekejap dibawah.

Dan kesakitan akan terasa bila berada dibawah tetapi sebaliknya bila iman berada diatas kenikmatan dapat dirasai mungkinkah ini yang dikatakan kemanisan iman,penulis sendiri pun sukar membezakan kannya kerana tidak berani untuk mengatakan bahwa ini adalah kemanisan iman.




Kadang-kadang perasaan2 yang tidak diduga juga sering hadir, sifat mazmumah yang sentiasa menanti masa menerkam ke jiwa penulis cukup menyebabkan penulis sendiri takut. Namun kita sebenarnya perlu tetap melangkah,ini adalah antara cabaran-cabaran yang bukan sahaja perlu dihadapi tetapi perlu di lawan sehabis daya melalui kewarasan akal dan pertimbangan emosi agar hati kita tidak menjadi sarang untuk sifat mazmumah bermaharajalela, semoga dengan itu akan terbit pula sinar mahmudah yang akan melahirkan akhlak yang iklas,jujur dan istiqamah untuk berkorban.
Wallahua'lam

2 comments:

Junaidi Al-Putatani said...

Salam Aurora..Hehehe

A very good entry..Teruskan memperbanyakkan entri-entri yang berkaitan dengan sirah nabi, sahabat dan para pejuang islam dahulu kala

HAMBA ALLAH said...

insyaAllah jun sama2 kita lakukan untuk sebarkan lagi islam kepada semua sebagai satu dakwah..insyaALLAH