“Saya abg sobri ingin memberitahu sobri b. Husin telah meninggal dunia dalam pukul 12 tengahari tadi”.
Itulah mesej yang berdering ke handphone saya dari nombor arwah abang sob jam 2.15 petang tadi.
Innalillahi wa inna ilaihirajiun, terkejut saya apabila menerima mesej ini. Baru beberapa hari lepas saya menerima mesej kematian dari adik kepada seorang sahabat yang lain. Ya Allah! terasa begitu kematian menghampiri diri ini.
Perasaan bercampur baur, fikiran saya terlayang kepada arwah abang Sob. Arwah seorang yang sangat baik sepanjang perkenalan saya dengan arwah. Masih saya ingat, sewaktu pertama kali saya mengendalikan usrah SAHAM untuk adik-adik tahun 1, arwah banyak menemani dan memberi tunjuk ajar kepada saya. Maklumlah waktu itu saya agak kekok untuk mengendalikan usrah buat pertama kalinya.
Arwah sering kali mudah diajak meluangkan masa walaupun sibuk dengan tugas sebagai seorang pelajar. Sepanjang berusrah arwah sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk mengendalikan usrah walaupun kelihatan sungguh “tempang dan kekok”, namun arwah sering memberikan kata-kata semangat dan dorongan kepada saya. Begitu juga kepada adik-adik yang sentiasa meminta perkongsian idea masalah, arwah sangat peramah.
Usrah juga berjalan dengan lancar dan ceria, kerana arwah seorang yang suka berjenaka. Acap kali juga setiap kali usrah, arwah akan membawa 'buah tangan' untuk adik-adik. Kami menjadi begitu rapat sehinggakan saya tidak kekok berkongsi masalah dengan arwah.
Sungguh arwah seorang yang sangat tabah. Sepanjang perkenalan dengan arwah abang sob. Saya diberitahu oleh arwah yang arwah menghidap penyakit jantung. Pada masa itu arwah memberitahu yang sehingga saat arwah ayah arwah meninggal, ayah arwah tidak mengetahui tentang penyakit arwah. Arwah juga berpesan supaya jangan beritahu sesiapa perkara ini. Sempat arwah berseloroh yang arwah biasa pengsan kat fakulti dan tempat-tempat lain.
Seingat saya, perbualan saya yang terakhir saya dengan arwah beberapa bulan yang lalu. Masa itu saya ada tanya kesihatan arwah dan suara arwah kedengaran kurang sihat. Mendung sungguh didalam dada.
Semenjak 2-3 hari ini, saya memang merasa lain dalam hati. Mungkin petanda saya bakal kehilangan arwah. Entahlah samada kebetulan mungkin, saya ada terbayang orang dikafan, keranda diusung dan lubang kubur. Saya merasa cukup hairan kerana gambaran tersebut terkadang menerpa secara tiba-tiba. Mungkin ini petandanya. Kebiasaannya gambaran tersebut agak kerap kali saya dapat semasa dulu-dulu jika ada orang yang terdekat akan meninggal. Namun saya menganggap itu hanya kebetulan.
Untuk arwah abang Sobri…
“Sungguh seketika pertemuan kita,bagaikan semalam berkongsi rasa, semoga dirimu terus berbahagia disana, aku tahu sudah lama Engkau menanggung derita, sakitmu didalam dada, disembunyikan dari semua”. Abang Sob “ana pasti akan teringat abang Sob sampai bila-bila”,Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.
AL-FATIHAH BUAT ARWAH ABANG SOBRI BIN HUSIN YANG MENINGGAL LEBIH KURANG JAM 12 TGH HARI TADI (18/11/2010)-HARI RAYA KE2 AIDILADHA….
ASTAGHFIRULLAHALA’ZIM...
No comments:
Post a Comment