Monday, November 23, 2009

Beginikah rasanya!

Alhamdulillah syukur kepada Allah swt kerana kudrat yang saya ada pada hari ini untuk menulis adalah nikmat yang dikurniakan oleh Nya. Marilah kita bersama-sama terus menerus berusaha dan berdoa tanpa jemu supaya nikmat yang maha besar iaitu iman dan islam yang ada pada kita akan terus berada dalam hati kita sehingga bertemuNya nanti.

Siapakah yang mampu menjamin dirinya mati dalam keadaan beriman dan suci dari segala dosa. Saya masih ingat satu cerita mengenai seorang hamba Allah yang sangat warak sehingga mempunyai jumlah anak didik yang berpuluh ribu. Hendak diceritakan kehebatannya sehingga anak muridnya mampu terbang. Saya tidak ingat secara detail berkenaan cerita ini tetapi cukup untuk member pengajaran kerana walaupun dia seorang yang hebat tapi akhirnya mati dalam keadaan kufur kerana terjebak dengan tipu daya syaitan untuk minum arak, berzina dan membunuh.

Saat-saat akhir seperti ini bila berada dipenghujung semester saya merasa ada satu perasaan yang sangat berlainan. Tatkala kawan-kawan semakin ramai meninggalkan saya pulang kekampung, tatkala hujan yang terus menerus tanpa henti.Saya termenung panjang, helaian borang muhasabah yang ditampal pada almari saya renung. Ya Allah banyak tidak terisi,sia-sia pula rasanya menampalnya. Terdetik penyesalan yang sangat mendalam dilubuk hati ini. Buku-buku,nota-nota semasa kuliah waktu sepanjang semester lepas saya buka. Apa yang telah aku belajar? Terdetik dihati saya. Sekejapnya masa..apakah aku menggunakan masa untuk belajar dengan sebaik-baiknya?

Adakalanya saya merasa sedih memikirkan kehidupan ini,apa tidaknya waktu dikeheningan malam hati mampu menangis bila bertahajjud tetapi gelora nafsu akhirnya sentiasa menenggelamkan hati pada waktu lainnya. Nafsu malas,lemah,bertangguh-tangguh dan lain-lain sentiasa mengejar silih berganti. Bila hati mendapat pengisian,peringatan atau tazkirah mampu pula mengingati Allah dan merasa berdosa tetapi diketika waktu lain tersungkur bila berdepan dengan kesibukan dunia. Bila pulang dari program tarbiyyah, hati bergelora dengan semangat untuk berjuang tetapi selang beberapa hari semangat kembali luntur. Bingung sungguh memikirkan kehidupan ini,terasa sesuatu yang sukar untuk ditempuh.

Kadang-kadang terfikir beginikah rasanya bila kembali kepada tuhan nanti, bila amalan dibentangkan, amalan ini tidak dilakukan,amalan ini tidak dibuat,yang itu tidak sempurna,yang ini ditolak. Apakah penyesalan waktu itu mampu mengembalikan diri kedunia. Ya Allah lemahnya aku ini!!!!

No comments: