Tuesday, March 27, 2012

KEHEBATAN ALLAH MENCIPTAKAN MINDA

Salam wbt

InsyaAllah, kali ini ana ingin berkongsi berkenaan dengan kehebatan Allah yang menciptakan minda kita dengan sangat ajaib dan hebat. Bila kita teliti apa yang ada pada diri kita, kita akan bertemu dengan apa yang Allah katakan dalam Al-Quran

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya) - At-Tin ayat 4

Antara kejadian terhebat yang Allah ciptakan ialah otak, secara zahirnya dipanggil otak dan secara “batinnya” dipanggil minda ataupun mungkin akal. Kenapa dikatakan hebatNya Allah swt menciptakan otak kita.

Perhatikan pertamanya pada skruktur atau kedudukan otak kita, sepertimana kita tahu otak adalah antara komponen yang sangat penting pada tubuh badan kita, kemampuan akal untuk berfikir adalah dari otak. Banyak kelebihan-kelebihan pada otak ni. Memandangkan fungsinya yang sangat-sangat penting, maka Allah menciptakan kedudukannya berada di dalam sarung perlindungan yang sangat hebat iaitu kepala. Seterusnya mata dan telinga berada dekat dengan otak kita, bayangkan segala benda yang datang menerpa untuk mencederakan otak kita dapat kita lihat dengan mata dan dapat kita dengar dengan telinga yang berada dekat dengan kepala kita. Sebab tu kaki kita lebih kerap tersepak benda bila berjalan sebab mata tidak berada dibawah. Hebatkan Allah swt?

Minda kita terbahagi kepada dua iaitu minda sedar dan minda separa sedar. Minda sedar juga dikenali sebagai minda segar. Bila kita perlu berfikir menyelesaikan sesuatu masalah kita menggunakan minda sedar. Maksudnya kita perlu berfikir secara sedar untuk menyelesaikan masalah tersebut. Contoh mudah ialah sewaktu kita berada di dalam dewan peperiksaan, kita akan diuji dengan menggunakan minda sedar ni. Contoh lain, cuba bayangkan gajah berwarna oren? Anda perlu berfikir bukan untuk mendapatkan imaginasi gajah berwarna oren? Yalah sebab gajah yang biasa kita lihat bukan berwarna oren. Jadi kita perlu berfikir untuk membayangkan gajah warna oren, itulah contoh penggunaan minda sedar.

Seterusnya berbalik kepada minda separa sedar atau juga dikenali sebagai minda tabiat. Minda tabiat terbentuk melalui perkara yang kita lihat, perkataan dan gambaran yang berulang-ulang. Contohnya, pernahkan kita sewaktu awal-awal kita belajar memandu kereta, kita perlu berfikir untuk menukar gear, nak tekan clutch dan lain-lain. Tapi apabila kita kerap memandu kereta, kita menjadi biasa dengan keadaan tersebut. Malah kita tidak perlu lagi berfikir untuk melakukan tindakan tersebut kerana telah sebati dengan kita. Pernahkah kita berfikir bagaimana perkara tersebut boleh berlaku? Sebenarnya telah berlaku proses pemindahan maklumat dari minda sedar kepada minda separa sedar atau minda tabiat atas pengulangan yang kita lakukan. Banyak lagi contoh-contoh lain yang ada, mungkin sahabat-sahabat sendiri boleh fikirkan dan cuba ingat perkara yang dulu kita rasa payah,susah akhirnya menjadi tabiat yang kita buat dengan mudah sekarang.

Kajian menunjukkan, pemikiran kita di hasilkan oleh 5% minda sedar dan 95% dihasilkan oleh minda tabiat. Bayangkan aktiviti harian kita banyak menggunakan minda tabiat. Kita tak perlu berfikir untuk gosok gigi bila bangun pagi, kita tidak perlu berfikir nak sarungkan baju macam mana, kita tidak perlu berfikir untuk buka pili air dan lain-lain. Memang tindakan kita berlaku secara tabiat yang telah kita set dalam pemikiran kita, namun semuanya berlaku atas kawalan Allah swt. Ana kira orang yang mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya dengan penuh kesedaran, adalah orang yang hebat. Orang yang solat dengan khusyuk penuh kesedaran adalah orang yang hebat.

Jadi ibadat berlaku jika niat kita betul kerana Allah penuh kesedaran, bukan secara kebetulan. Ana ulang kata-kata seorang ustaz dulu, dia kata kalau kita minum air walau baca bismillah tapi lepas minum tak ingat baca ke tak, tak niat kerana Allah. Maka hal tersebut hanya menjadi adat bukan ibadat. Mungkin di sini penting hidup yang penuh sedar, bukan hidup sekadar hidup. Kalau hidup sekadar hidup, nanti mati kita akan terkejut dan baru hidup. Ibarat orang yang terjaga dari mimpi, bila tersedar baru perasan yang rupa-rupanya selama ini dia tidur. Tak ingat kata-kata atau hadis berkenaan dengan ini.

Kenapa pula perlu dengar tazkirah dimasjid setiap masa? Mengapa peringatan di katakan bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Pendapat ana, ini antara sebabnya, peringatan yang berulang-ulang walau perkara yang sama adalah untuk set minda tabiat tadi supaya sedar dan ingat bahawa ada kehidupan selepas kematian, jangan terlalu rakus mengejar dunia sehingga melupakan akhirat, jangan lari fokus dalam hidup dan lain-lain. Mungkin betul, mungkin salah. Ini pendapat ana sendiri.. Semoga kita sentiasa merendah hati untuk mendengar segala nasihat dan peringatan yang boleh manfaat kepada kita.

Kesimpulannya, sudahkah kita memanfaatkan sepenuhnya otak yang Allah kurnaikan pada kita? Apakah yang sebenarnya yang kita inginkan didalam hidup ini? Apakah visi dan misi hidup kita? Sudahkah kita menulis dan membaca setiap hari misi dan visi hidup kita untuk “ingatkan” dalam minda tabiat kita? Jika belum, mulailah menulis tentang harapan, cita-cita dan apa sahaja yang kita ingin didunia dan diakhirat dalam usaha meraih keredhaan Allah. Kita baca secara berulang-ulang, buat gambaran dalam minda kita. Bayangkan kita menjadi seorang yang sangat baik, layan orang penuh kasih sayang, tak rasa diri hebat dan lain-lain. Bayangkan..biar ia menjadi tabiat asal kita. Tabiat asal kita sewaktu kita dialam roh dulu. Tabiat yang sangat baik dan dekat dengan Allah.

Ana jelaskan di sini, bila kita buat perkara ini bukan bermaksud kita bergantung pada minda kita semata-mata, jangan sesekali. Kita tidak boleh melepaskan diri dari pelukan Allah setiap masa, cuma ianya sekadar seperti “Peringatan” untuk minda kita seperti mana kita mendengar tazkirah. Hakikatnya, kita hanya mampu berusaha Allah yang memberikan segala-galanya. Semoga hati kita akan lebih terpaut dan dekat kepada Allah, semoga minda kita jauh lebih terbayangkan kehidupan selepas kematiaan berbanding hidup yang singat didunia sekarang.

Mintak maaf kalau ada salah dan silap dalam penulisan ni. Sekadar berkongsi ilmu. Semoga bermanfaat untuk kita bersama dalam usaha meraih kasih sayang Allah.

Wallahua’lam


3 comments:

no POWER except ALLAH said...

salam alaik, terima kasih atas perkongsian..

ichigo Reloaded said...

Assalammualaikum tuan, mohon kebenaran untuk share isi blog tuan. kredit ke link blog tuan. jazakallah..

Fath Fateha said...

mohon share..