Tuesday, September 15, 2009

Catatan di akhir Ramadhan

6.44 pagi. Suara ayam sahut-sahut kedengaran berkokokan seakan-akan memanggil manusia bangun menunaikan solat Subuh. Suasana dikampung memang begini, sesekali kedengaran suara anak-anak ayam yang berkeliaran dihadapan rumah. Entahlah saya tidak memahami bahasa binatang seperti Nabi Sulaiman.

Hari ini 26 Ramadan, bererti Ramadhan semakin melambai untuk meninggalkan kita. Sungguh sekejap rasanya “tetamu” ini hadir. Ibarat sepetang bersamanya. Yang pasti Ramadhan datang dan pergi silih berganti setiap tahun cuma kita bila pergi pasti tidak akan kembali.

“ Jadi kita bersiap sedia awal-awal dengan persediaan sebagai bekalan di hari akhirat,
Kita berdoa supaya Allah hidupkan kita dengan iman,matikan kita dengan iman”,
pesan seorang ustaz.

Siapa mampu menjamin dirinya mati didalam keadaan beriman? Mati dalam keadaan sudah bertaubat? Mati dalam keadaan bersih dari segala dosa?

Analogi kehidupan ini di ibaratkan seperti satu perjalanan dilautan,kita adalah penumpang sebuah kapal. Kapal melabuhkan sauh berhenti disebuah pulau yang sangat indah. Kita dipesan agar mencari bekal sebanyak mungkin sepanjang dipulau tersebut kerana perjalanan selepas ini masih jauh untuk diteruskan.

Tentu sekali kita dapat bayangkan bagaimana keadaan penumpang-penumpang yang singgah dipulau itu tadi. Ada yang bersungguh-sungguh mengerah tenaga mengumpul bekalan, bimbang kalau-kalau bekalan tidak cukup. Ada yang lalai terpesona dengan keindahan dan keseronokan dipulau itu tapi masih ingat pesanan supaya mencari bekalan. Dan ada juga yang langsung terlupa untuk mengumpul bekalan kerana sangat terpaut dengan keseronokan berada dipulau tersebut.

Akhirnya,masa untuk berlabuh sudah berakhir. Kapal akan meneruskan perjalanan. Siapa untung, siapa rugi??

Dimana kita? Tepuk dada tanya iman.

Wahai diri dan sahabat-sahabatku sedarlah berapa lama sangat kita akan hidup diatas muka bumi ini. 100 tahun? 1000 tahun? Sangatlah rugi seandainya kita sanggup menggadaikan sebuah kehidupan yang kekal abadi dek kerana terpaut dan terpesona kepada keseronokan hidup yang sementara.

Ya Allah, perjalanan kehidupan disana sangatlah jauh. Banyaknya kesulitan disini. Apakah diri ini mampu bertahan dengan pautan keseronokan dunia yang terlalu banyaknya.

Ramadhan akan berlalu pergi,mampukah amalan ramadhan yang lalu menjadi titik tolak permulaan kepada bulan yang akan datang ataukah amalan akan berakhir sebaik ramadhan pergi. jika kita melakukan sesuatu amalan kerana Ramadhan maka Ramadhan akan berlalu pergi tetapi jika melakukan amalan kerana Allah,Allah akan sentiasa ada bersama kita.

7.33 am (26 Ramadhan 1430H)
Catatan ini adalah muhasabah paling utama untuk diri penulis sendiri yang terlalu banyak berdosa.

No comments: